Rabu, September 21, 2005

IMAM MUDA


Ekoran kisah Khalid Walid yang disiarkan dalam blog ini ada seorang pembaca yang menamakan dirinya sebagai Imam Muda menghantar emel bertanya begini.

1) Apakah wajar Saidina Omar memecat Khalid Walid?.

2) Benarkah Saidina Omar menaruh perasaan dendam kerana Khalid bin Walid lebih popular daripadanya?.

Menurut kisahnya sebelum masuk Islam Omar dan Khalid memang terkenal sebagai pemuda yang gagah. Keduanya pernah bertarung untuk menentukan siapa yang lebih kuat. Dalam perlawanan itu Khalid bin Walid berjaya mematahkan kaki Omar.

Saidina Omar lebih dulu masuk Islam dari Khalid. Namun khalid yang mendapat perhatian istimewa dari Rasulullah sehingga digelar Saifullah atau Pahlawan Pedang Allah dan dilantik mengepalai angkatan tentera Islam dalam banyak peperangan.

Ada yang mengatakan selepas Rasulullah menakluk kota Mekah ramai yang memeluk Islam kerana terpaksa disebabkan ketika itu Islam telah kuat sehingga berjaya menguasai Mekah dan Madinah. Namun khalid masuk Islam sebeluk penawanan Mekah.

Ada pula yang berperang kerana hendakkan harta rampasan perang. Saidina Omar tidak senang dengan tindakan Khalid membahagikan harta rampasan perang tanpa merujuk dulu kepada Khalifah. Namun Khalid bukan orang kaya. Semasa meninggal dunia Khalid Cuma meninggalkan kuda dan pedang sahaja.

Khalid pula dikatakan terlalu berani dalam peperangan sehingga dikatakan tindakannya membahayakan nyawa tentera Islam. Namun ramai yang memuji Khalid kerana boleh dikatakan semua peperangan yang diketuainya mencapai kemenangan.

Setelah Khalid dipecat dari jawatannya dia tidak menunjukan penentangan terhadap Saidina Omar. Dia terus menyertai peperangan walaupun sebagai tentera biasa. Abu Ubaidah bin Jarrah sendiri berasa malu hendak menyampaikan surat perlantikan yang diterimanya daripada Saidina Omar kepada Khalid dan dia tidak pula menunjukkan rasa angkuh setelah memegang jawatan tersebut.

Memang benar Khalid baru saja memeluk Islam dan dia belum mahir mengenai hukum hakam agama kerana masanya lebih banyak dihabiskan di medan perang. Namun ada hadis yang bermaksud sesaat berjihad di jalan Allah itu lebih baik dari beribadat sekian tahun.

Saidina Omar bin Khattab antara 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Beliau juga sahabat nabi yang paling rapat sehingga boleh dijadikan contoh dan ikutan. Khalid bin walid pula seorang pahlawan yang berjasa kepada Islam sehingga mendapat gelaran Saifullah atau pahlawan pedang Allah.

Kesimpulannya, Saidina Omar dan Khalid adalah tokoh yang istimewa. Seorang dijamin masuk Syurga dan seorang lagi digelar oleh Rasulullah SAW sebagai Pahlawan Pedang Allah.

0 ulasan: