Isnin, September 26, 2005

KHALID BIN AL WALID

PAHLAWAN PEDANG ALLAH

Pagi itu sebelum matahari terbit orang ramai sudah berkumpul di depan Kaabah. Mereka menunggu kedatangan seorang lelaki yang paling mereka sanjungi iaitu Khalid bin al Walid. Masing-masing seolah tidak sabar menanti kedatangannya.

Kau tahu kenapa Khalid al Walid mengajak orang ramai berkumpul di sini pagi ini? tanya Abu Lahab kepada Abu Sufiyan.

Aku sendiri pun tidak tahu, jawab Abu Sufiyan. Kemudian katanya lagi, Khalid bin Al Walid seorang pahlawan agong. Namanya semakin masyhur setelah berjaya mengalahkan tentera Islam dalam peperangan Uhud. Mungkin dia hendak mengajak kita menyerang Madinah.”

Kalau benar seperti yang kau kata, aku orang pertama yang akan menyokongnya, kata Abu Lahab. Kemudian dia menyambung lagi kata-katanya. Aku sanggup menyerahkan semua kuda dan unta milikku untuk digunakan oleh tentera kita bagi memerangi Muhammad.

Aku juga akan menyokong kerana kita telah kalah dalam peperangan Badar. Tetapi Khalid bin al Walid telah berjaya menebus kekalahan kita itu dalam peperangan Uhud. Kita terhutang budi kepadanya. Kerana itu kita mesti menyokong apa saja tindakannya terhadap Muhammad, balas Abu Sufiyan pula. Dia adalah ketua suku Bani Umaiyah.

Kita beruntung kerana Khalid bin Al Walid menyebelahi kita. Dia bukan sahaja gagah dan berani tetapi juga bijak mengatur perancangan di medan perang. Kerana itu memang selayaknya dia dilantik menjadi pemimpin tentera, puji Abu Lahab.

Perbualan mereka terhenti bila Khalid bin Al Walid datang. Dia berdiri membelakangi Kaabah lalu mengadap ke arah orang ramai.

Kau lihat Khalid Al Walid, kata Abu Lahab. Dia berpakaian lengkap seperti pahlawan. Mukanya nampak garang dan tangan kanannya sentiasa memegang hulu pedang yang tersisip di pinggangnya.

Aku yakin dia hendak mengajak kita memerangi Muhammad. Mari kita dengar apa yang hendak diumumkannya, balas Abu Sufian pula.

Semua mata tertumpu kepada lelaki bertubuh sasa, berjanggut tebal dan berwajah tampan itu. Dengan suara yang lantang Khalid bin al Walid pun berkata; Mulai hari ini, pada pagi yang bertuah ini, aku mengaku sesungguhnya Muhammad itu seorang Rasul dan agama yang dibawanya adalah agama yang benar!

Tiba-tiba suasana menjadi kecuh. Orang ramai marah apabila mendengar kata-kata Khalid bin Al Walid. Abu Lahab bertempik sekuat hatinya, Celaka engkau wahai Khalid bin al Walid. Sesia saja Al Walid membesarkan kau. Sesia sahaja Lababah melahirkan kau. Adakah kerana itu engkau menyuruh kami berkumpul di sini?

Aku seorang pahlawan. Sejak dari kecil aku dididik supaya berani berterus terang. Aku mahu kamu mengetahui bahawa aku telah menjadi pengikut Muhammad, balas Khalid al Walid.

Abu Lahab berdiri sambil bercekak pinggang. Wahai Khalid al Walid. Engkau dari Suku Bani Makhzum. Suku kaum yang paling kami pandang tinggi. Ayah engkau bernama Al Walid seorang yang paling kaya dan berpengaruh di kalangan kami. Ibu engkau bernama Lababah, seorang wanita yang kami hormati. Janganlah engkau menyakiti hati kami kerana engkau adalah orang mulia di kalangan kami, kata Abu Lahab.

Ayah dan ibuku sudah tiada. Aku pula sudah dewasa. Aku berhak memilih jalan hidup sendiri. Dan aku memilih Islam sebagai agamaku, balas Khalid bin Al Walid pula.

Abu Labah semakin marah. Mukanya bengis. Apa yang engkau dapat bila menjadi pengikut Muhammad? tanya Abu Lahab.

Belum sempat Khalid bin Al Walid menjawab, Abu Lahab menyambung kata-katanya Muhammad itu seorang yang miskin. Sejak kecil dia menjadi yatim piatu. Hidupnya mengharap belas kasihan orang. Dia tidak pandai menulis dan membaca. Sedangkan engkau anak seorang hartawan. Apabila ayah engkau mati maka engkau mewarisi harta kekayaannya. Engkau mewarisi ladang buah-buahan yang amat luas. Memiliki beribu ekor unta dan kuda. Mempunyai beratus orang hamba sahaya. Apa lagi yang engkau hendak cari?

Memang benar kata-katanya, balas Abu Sufiyan pula. Al Walid ayahmu seorang hartawan yang dermawan. Dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi mengganti kelambu Kaabah. Dia juga yang menyediakan makanan dan minuman bagi orang ramai yang mengelilingi Kaabah. Engkau contohilah ayahmu.

Memang benar ayah aku seorang yang kaya. Tetapi segala harta kekayaannya itu ditinggalkan setelah dia meninggal dunia. Memang benar ayah aku seorang yang dermawan dan paling berpengaruh di kalangan kamu. Tetapi semua itu tidak dapat menyelamatkan dia dari kematian. Aku yakin hanya Muhammad saja yang dapat menyelamatkan hidup kita di dunia dan di akhirat, jawab Khalid bin Al Walid.

Engkau telah terkena sihir Muhammad. Aku akan carikan seorang dukun yang handal untuk mengubatimu, teriak Abu Lahab sambil memukul dadanya dengan tangan sebagai tanda marah yang amat sangat.

Sebenarnya aku telah lama yakin apa yang dibacakan oleh Muhammad itu adalah benar. Dan aku yakin agama yang dibawanya juga adalah benar. Tetapi kebenaran itu ditutup oleh hawa nafsu, harta dan pangkat yang ada pada diriku. Tetapi mulai pada hari ini, aku telah melawan hawa nafsuku itu. Aku sanggup kehilangan harta dan pangkat demi untuk mencari kebenaran, balas Khalid bin Al Walid.

Wahai Khalid, teriak seorang pemuda. Namanya Ikramah bin Abu Jahal. Awak tak sepatutnya bercakap begitu.

Bagi mereka yang mempunyai akal fikiran yang sempurna, Telah jelas dan terang bahawa Muhammad itu bukan seorang ahli sihir. Segala perkataan yang keluar dari mulutnya adalah Kalam Allah Rabbul Alamin. Oleh sebab itu jadi kewajipan bagi tiap-tiap orang yang berakal sihat mengikut Muhammad, balas Khalid Al Walid.

Ikramah bin Abu Jahal tidak dapat menahan rasa marah. Dia tampil ke depan lalu berdepan dengan Khalid bin Al Walid. Wahai Khalid, engkau adalah pemimpin tentera Quraisy. Engkau tidak sepatutnya bercakap seperti itu, katanya.

Kenapa?. Salahkah aku berterus terang? tanya Khalid.

Muhammad telah mencemarkan keluarga kamu dan menjatuhkan maruah ayah kamu dengan membunuh bapa saudara dan sepupu kamu dalam perang Badar. Demi Tuhan, aku tidak akan masuk Islam dan tidak akan bercakap seperti yang engkau cakapkan. Aku dan kaum Quraisy bersedia untuk berperang dengan mereaka, jawab Ikramah bin Abu Jahal.

Engkau sombong dan jahiliyah. Demi Allah, aku telah Islam dan kebenaran telah nyata, balas Khalid al Walid.

Dia memang sudah terkena sihir Muhammad! teriak orang ramai.

Jangan benarkan dia menjadi pengikut Muhamnmad. Teriak mereka lagi.

Dengan pantas Khalid bin Al Walid menghunus pedangnya. Hari ini aku akan pergi ke Madinah untuk bertemu dengan Muhammad. Sesiapa yang tidak takut isterinya menjadi janda, dipersilakan menghalang perjalanan aku. Sesiapa yang sanggup anak-anaknya menjadi yatim, marilah bertarung dengan aku, katanya mencabar.
Aku tidak akan menyahut cabarannya kerana dia terkena sihir Muhammad, kata Ikramah sambil menjauhkan diri dari Khalid.

Khalid terus mencabar namun tidak ada seorang pun yang berani menyahut cabarannya. Kemudian Khalid bin Al Walid menunggang kudanya. Dan sebelum meninggalkan tempat itu dia berkata; Aku akan pergi ke Madinah seorang diri. Sesiapa yang tidak sayang kepada nyawanya dipersilakan menghalang perjalanan aku.

Kalau Khalid bin Al Walid berjaya sampai ke Madinah lalu bergabung dengan Muhammad maka kedudukan mereka bertambah kuat. Dan kita berada dalam bahaya, kata Abu Sufiyan melahirkan rasa bimbangnya.

Benar kata awak. Aku akan cuba menghalangnya, kata Abu Lahab pula.

Jangan gunakan kekerasan. Cubalah pujuk dia, Abu Sufiyan mencadangkan.

Abu Lahab pun cuba memujuk Khalid bin Al Walid. Aku sanggup beri kau apa saja asalkan jangan menemui Muhammad, katanya.

Walau apapun halangannya, aku tetap akan pergi menemui Muhammad. Aku sudah menjadi pengikutnya, balas Khalid bin Al Walid.

Kalau kau inginkan gadis-gadis yang cantik aku sanggup menyediakannya. Kalau kau inginkan harta aku sanggup memberinya. Kalau kau hendak menjadi raja kami sedia melantiknya, Abu Lahab terus memujuk.

Bukankah kau juga pernah menawarkan perkara yang sama kepada Muhammad?. Apakah dia menerimanya? tanya Khalid pula.

Muhammad itu memang bodoh kerana itu dia menolaknya, jawab Abu Lahab.

Sekali lagi kau mengatakan Muhammad itu bodoh aku akan penggal leher kau! balas Khalid bin Al Walid sambil menghunus pedangnya.

Abu Lahab berasa takut yang amat sangat. Dengan cepat dia berlalu dan Khalid bin al Walid meneruskan perjalanannya ke Madinah. Namun Abu Lahab tidak berputus asa. Dia membuat tawaran kepada orang ramai. Sesiapa yang sanggup menghalang Khalid bin Al Walid bertemu Muhammad akan aku berikan hadiah! katanya.

Tetapi tidak seorang pun yang sanggup menyambut tawaran tersebut. Tidak ada yang sanggup isterinya menjadi janda. Dan tidak siapa yang sanggup anak-anaknya menjadi anak yatim, ujar Abu Sufiyan. Kemudian katanya lagi.

Hanya Omar bin al Khatab saja yang berani bertarung dengan Khalid al Walid. Tetapi sekarang Omar sudah menjadi pengikut Muhammad. Kerana itu aku yakin tidak ada sesiapa lagi yang berani menentangnya.

Namun Abu Lahab tidak berputus asa. Dia menaikkan lagi tawaran hadiahnya. Aku sanggup beri sepuluh ribu dinar kepada sesiapa yang sanggup menghalang Khalid bin Al Walid, katanya.

Tiba-tiba seorang pemuda mengangkat tangan sebagai menyatakan kesanggupannya. Aku sanggup menghalang perjalanan Khalid bin Al Walid ke Madinah. Tetapi dengan satu syarat.

Apakah syaratnya, wahai orang muda? tanya Abu Lahab pula.

Berikan aku dua puluh ribu dinar. Dan aku akan hadiahkan kepala Khalid al Walid kepada kau, jawab pemuda itu.

Awak masih muda. Dan awak bukan tandingan dia, tempelak Abu Sufiyan.

Aku seorang yang cekap memanah. Aku akan gunakan anak panahku untuk menghalang perjalanan Khalid bin Al Walid. Kalau tidak berjaya aku akan gunakan lembingku. Dan kalau masih tidak berjaya aku akan gunakan pedangku, kata pemuda itu dengan bersungguh-sungguh.

Abu Lahab gembira mendengarnya. Aku akan berikan engkau dua puluh ribu dinar. Tetapi kalau engkau tidak berjaya menghalang Khalid maka pulangkan semula duit itu kepada aku, katanya.

Baiklah, aku setuju, balas pemuda itu.

( Bab pertama dari novel Khalid Al Walid yang akan diterbitkan oleh PTS)

Rabu, September 21, 2005

IMAM MUDA


Ekoran kisah Khalid Walid yang disiarkan dalam blog ini ada seorang pembaca yang menamakan dirinya sebagai Imam Muda menghantar emel bertanya begini.

1) Apakah wajar Saidina Omar memecat Khalid Walid?.

2) Benarkah Saidina Omar menaruh perasaan dendam kerana Khalid bin Walid lebih popular daripadanya?.

Menurut kisahnya sebelum masuk Islam Omar dan Khalid memang terkenal sebagai pemuda yang gagah. Keduanya pernah bertarung untuk menentukan siapa yang lebih kuat. Dalam perlawanan itu Khalid bin Walid berjaya mematahkan kaki Omar.

Saidina Omar lebih dulu masuk Islam dari Khalid. Namun khalid yang mendapat perhatian istimewa dari Rasulullah sehingga digelar Saifullah atau Pahlawan Pedang Allah dan dilantik mengepalai angkatan tentera Islam dalam banyak peperangan.

Ada yang mengatakan selepas Rasulullah menakluk kota Mekah ramai yang memeluk Islam kerana terpaksa disebabkan ketika itu Islam telah kuat sehingga berjaya menguasai Mekah dan Madinah. Namun khalid masuk Islam sebeluk penawanan Mekah.

Ada pula yang berperang kerana hendakkan harta rampasan perang. Saidina Omar tidak senang dengan tindakan Khalid membahagikan harta rampasan perang tanpa merujuk dulu kepada Khalifah. Namun Khalid bukan orang kaya. Semasa meninggal dunia Khalid Cuma meninggalkan kuda dan pedang sahaja.

Khalid pula dikatakan terlalu berani dalam peperangan sehingga dikatakan tindakannya membahayakan nyawa tentera Islam. Namun ramai yang memuji Khalid kerana boleh dikatakan semua peperangan yang diketuainya mencapai kemenangan.

Setelah Khalid dipecat dari jawatannya dia tidak menunjukan penentangan terhadap Saidina Omar. Dia terus menyertai peperangan walaupun sebagai tentera biasa. Abu Ubaidah bin Jarrah sendiri berasa malu hendak menyampaikan surat perlantikan yang diterimanya daripada Saidina Omar kepada Khalid dan dia tidak pula menunjukkan rasa angkuh setelah memegang jawatan tersebut.

Memang benar Khalid baru saja memeluk Islam dan dia belum mahir mengenai hukum hakam agama kerana masanya lebih banyak dihabiskan di medan perang. Namun ada hadis yang bermaksud sesaat berjihad di jalan Allah itu lebih baik dari beribadat sekian tahun.

Saidina Omar bin Khattab antara 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Beliau juga sahabat nabi yang paling rapat sehingga boleh dijadikan contoh dan ikutan. Khalid bin walid pula seorang pahlawan yang berjasa kepada Islam sehingga mendapat gelaran Saifullah atau pahlawan pedang Allah.

Kesimpulannya, Saidina Omar dan Khalid adalah tokoh yang istimewa. Seorang dijamin masuk Syurga dan seorang lagi digelar oleh Rasulullah SAW sebagai Pahlawan Pedang Allah.

Ahad, September 18, 2005

KHALID BIN AL WALID


PAHLAWAN PEDANG ALLAH

Khalid bin Al Walid terkenal sebagai pahlawan yang gagah berani sehingga mendapat gelaran SAIFULLAH atau pedang Allah. Beliau mendapat gelaran tersebut ketika berlakunya perang Muktah pada tahun 8 hijrah. Dalam perang tersebut tentera Islam seramai 3,000 orang berperang melawan tentera Rome yang berjumlah 200,000 orang.

Apabila panglima Zaid bin Harithah gugur maka tempatnya diambil alih oleh panglima Jakfar bin Abi Talib. Apabila Jakfar gugur maka tempatnya diambil oleh Abdullah bin Rawwahah. Dan apabila panglima Abdullah juga gugur maka tentera Islam melantik Khalid bin Al Walid sebagai pemimpin mereka. Dengan kebijaksanaannya tentera Islam berjaya diundurkan dengan selamat setelah menimpakan kerugian yang besar terhadap tentera Rome.

Berita tersebut sampai kepada Nabi Muhammad SAW lalu baginda bersabda yang maksudnya
Zaid memegang panji-panji kemudian gugur. Panji-panji diambil oleh Jakfar dan dia pun gugur juga. Panji itu dipegang oleh Ibnu Rawwahah dia pun gugur juga,
Rasulullah SAW diam sebentar dan kelihatan baginda menitiskan air mata. Kemudian baginda bersabda lagi

Akhirnya panji-panji itu dicapai oleh Si Pedang Allah dan Allah mengurniakan kemenangan kepada mereka (kaum muslimin)

Panglima Khalid bin Al Walid mempunyai pertalian yang rapat dengan Rasulullah SAW. Tetapi sebelum masuk Islam dia salah seorang penentang Islam yang paling keras. Ketika berlakunya perang Uhud Khalid bin Al Walid berjaya mengkucar kacirkan tentera Islam serta membunuh 50 orang tentera pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di atas bukit Uhud.

Tetapi setelah memeluk Islam Khalid bin Al Walid menjadi tentera yang paling keras menentang mereka yang memusuhi Islam. Kerana keberanian, kegagahan dan kebijaksaannya dia dilantik menjadi pemimpin tentera Islam dan terlibat hampir 50 medan perang yang besar.
Antaranya, memerangi golongan murtad, menakluk kerajaan parsi, kerajaan Hirah dan puncak kegemilangannya apabila berjaya mengalahkan tentera Rom dalam Perang Yarmuk.

Di zaman khalifah Saidina Omar bin Khatab, panglima Khalid bin Al Walid dipecat dari jawatannya. Namun dia terus berjuang walaupun Cuma sebagai tentera biasa. Kemudian dia membawa isteri dan anak-anaknya menetap di Syam. Ketika berada di sana berlaku wabak taun menyebabkan anak-anaknya meninggal dunia seorang lepas seorang sehingga kesemua anak-anaknya seramai 40 orang meninggal dunia.

Kemudian dalam tahun 21 hijrah Khalid bin Al Walid jatuh sakit. Ketika terbaring di atas ranjangnya panglima yang mendapat gelaran Pedang Allah itu menangis kerana hajatnya hendak mati syahid di medan perang tidak kesampaian.

Ketika meninggal dunia panglima agong itu berusia 55 tahun. Semasa dimandikan terdapat 80 bekas parut luka diseluruh badannya. Khalid bin Al Walid tidak meninggalkan harta yang banyak kecuali seekor kuda dan pedang yang pernah digunakannya dalam peperangan.

Bila berita kematian Khalid bin Al Walid sampai ke pengetahuan Saidina Omar bin Khatab, beliau berkata Tuhan rahmatkan rohmu wahai Abu Sulaiman (gelaran khalid) sesungguhnya semuanya tidak sebagaimana yang kusangka.

Khalifah Omar amat bersedih dengan kematian panglima Khalid bin Al Walid. Satu ketika dia berkata, aku memecat Khalid bukan kerana benci tetapi dia terlalu keras terhadap musuh. Aku tak mahu orang menyangka kemenangan tentera Islam kerana Khalid menjadi ketua. Dan satu lagi, Khalid terlalu sayangkan anggota pasukannya. Apabila mendapat harta rampasan perang dia tidak menunggu arahan sebaliknya terus membahagikan harta rampasan perang kepada anggota pasukannya.

Saidina Abu Bakar AS Siddiq berkata, Tidak ada lagi wanita yang mampu melahirkan anak seperti Khalid.

Adi bin Hatim pula berkata, nama Khalid dapat mengalahkan musuh sebelum peperangan berrmula.

Saidina Omar bin Khatab menyedari kesilapannya memecat panglima Khalid bin Al Walid dan bercadang hendak melantik semula sebagai ketua panglima tentera tetapi beliau telah meninggal dunia. Kata Saidina Omar,

Khalid telah menjadi raja dengan sendirinya. Tuhan rahmatkan Abu Bakar sesungguhnya dia lebih tahu mengenai laki-laki itu (khalid) lebih dari aku.

Semoga Allah merahmatinya. Amin. Al fatihah.

Jumaat, September 16, 2005

ISLAM DI SEPANYOL

Pada zaman kegemilangan kerajaan Umaiyah Islam telah bertapak di Sepanyol selama hampir 500 tahun. Tetapi apabila kerajaan Islam di Andalusia itu jatuh maka segala yang berkaitan dengan Islam telah dilenyapkan kecuali senibina Islam termasuk beberapa buah masjid yang telah dijadikan muzium.

Setelah beratus tahun Islam lenyap dari bumi Sepanyol kini sudah ada tanda-tanda Islam kembali bersinar.

Empat Puluh Sekolah di Spanyol, Mulai Ajarkan Agama Islam
Publikasi: 15/09/2005 16:36 WIB

eramuslim - Mulai tahun ini, yang akan jatuh pada pertengahan September, puluhan sekolah-sekolah di Spanyol akan mengajarkan mata pelajaran agama Islam. Pengajaran agama Islam di sekolah-sekolah ini, merupakan hasil kesepakatan antara pemerintah Spanyol dan persatuan organisasi-organisasi Islam Spanyol (Union of Islamic Associations).

Sebenarnya, hasil kesepakatan itu sudah berlaku sejak semester kedua tahun ajaran 2004-2005, namun baru dua sekolah saja yang memberlakukan mata pelajaran agama Islam.
Islam pertama kali diajarkan di Melilla dan Ceuta, dua kota di Maroko yang berada di bawah pemerintahan Spanyol. Populasi di kedua kota itu, 40 persennya adalah warga Muslim. Kedua kota inilah yang dijadikan percontohan pengajaran agama Islam bagi kota-kota lainnya di Spanyol.

Menurut kementerian pendidikan Spanyol, pengajaran agama Islam dibatasi hanya di 3 kota saja yaitu di Andalusia, Aragon dan Basque. Pembatasan itu dilakukan karena masih kurangnya tenaga pengajar agama Islam dan keputusan pemerintah Spanyol yang tidak mengizinkan tenaga guru agama Islam diambil dari Maroko atau negara-negara Islam lainnya.

Saat ini, baru 17 guru agama Islam yang dianggap memenuhi kriteria yang ditetapkan pemerintah Spanyol, yaitu harus lulusan universitas dan besar di Spanyol. Ketujuhbelas tenaga guru itu akan ditugaskan mengajar di sekitar 40 sekolah di tiga kota tersebut.Kepulauan Canary rencananya juga akan memulai pengajaran agama Islam pada tahun akademik ini. Namun karena terbatasnya jumlah guru, rencana itu dibatalkan.

Di ibukota Spanyol, Madrid terdapat kurang lebih 100.000 warga Muslim. Sementara di kota Barcelona, terdapat lebih dari 150.000 warga Muslim. Tapi sekolah-sekolah di dua kota itu belum mengajarkan agama Islam, lagi-lagi alasannya karena kekurangan tenaga pengajar.
Ketua Persatuan Organisasi Islam di Spanyol, Abdul Salam Mansur pada kantor berita Spanyol EFE mengaku tidak puas dengan masih sedikitnya guru agama Islam dan pembatasan dalam kesepakatan dengan pemerintah Spanyol. Kendati demikian, Mansour menilai diizinkannya pengajaran agama Islam di sekolah-sekolah merupakan langkah penting, terutama untuk meningkatkan citra Islam di kalangan masyarakat Spanyol.

Untuk itu, Sekretaris Jenderal Persatuan Organisasi Islam Spanyol, Riadh Tatari berharap kesepakatan itu diperluas sehingga agama Islam bisa diajarkan di seluruh sekolah di Spanyol.
Minat Siswa Masih Rendah

Kesepakatan dengan pemerintah Spanyol itu ditandatangani pada era 1990an ketika Partai Sosialis menjadi partai yang berkuasa di Spanyol. Namun pada tahun 1996, Partai Rakyat yang berkuasa di Spanyol membatalkan kesepakatan tersebut.

Sekarang, meski pengajaran agama Islam di sekolah-sekolah sudah diperbolehkan, minat siswa untuk mengambil kelas mata pelajaran itu ternyata tidak terlalu tinggi. Menurut data statistik, ada sekitar 80.000 siswa Muslim di Spanyol, tapi yang mendaftar untuk mengikuti kelas agama Islam hanya 25.000 orang.

Harian Spanyol El Periodico de Aragon melaporkan, pelajaran agama Islam yang diberikan dibatasi hanya pada sejumlah definisi Islam dan pengajaran tentang tatacara shalat dan peribadahan lainnya. Pelajaran akan disampaikan dalam bahasa Spanyol kecuali saat pelajaran membaca Al-Qur'an. Para guru agama Islam ini akan menerima bayaran sebesar 1.200 euro atau sekitar 1.471 dollar AS. (ln/iol)

Rabu, September 14, 2005

SELAMAT PENGANTIN BARU

Selamat pengantin baru saya ucapkan
Kepada Ep dan isteri
Semoga berbahagia dunia dan akhirat.

Bertemu jodoh
Selesai akad nikah
Cincin disarung

Menjeling manja
Tangan erat digenggam
Dada berdebar
Image hosted by Photobucket.com

Jumaat, September 09, 2005

NOVEL TARIQ BIN ZIYAD


Alhamdulillah,

Penulisan manuskrip Tariq bin Ziyad telah selesai. Dan saya berasa amat gembira apabila Puan Ainon Mohd memaklumkan kepada saya PTS PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD akan menerbitkannya.

Idea menulis novel tersebut bermula apabila saya berkunjung ke pejabat PTS yang terletak di Bukit Tinggi Bentong. Puan Ainon Mohd dalam kesibukannya sempat juga meluangkan masa berbincang dengan saya lebih 2 jam mengenai projek penulisan novel patriotik yang hendak diterbitkan. Dan saya menawarkan diri untuk menulis kisah pahlawan-pahlawan Islam yang akan ditulis dalam bentuk novel.

Saya memilih Tariq bin Ziyad kerana tokoh tersebut jarang diperkatakan berbanding pahlawan lain seperti Khalid bin Al Walid dan Salahuddin Al Ayubi. Sedangkan pahlawan tersebutlah yang menyebabkan Islam betapak di Sepanyol selama hampir 500 tahun.

Penulisan novel tersebut berjalan lancar kerana apabila siap bab pertama saya mengirimkannya kepada Puan Ainon melalui emal untuk di baca dan di edit. Dan Puan Ainon memaklumkan segera kepada saya jika terdapat kesilapan atau ada bahagian yang perlu dibuat tambahan. Dan pada bab yang pertama itu saya mendapat tunjuk ajar dari Puan Ainon bagaimana corak penulisan yang dikehendaki oleh PTS.

Alhamdulillah bab kedua dan seterusnya tiada lagi masalah malah Puan Ainon berpuas hati dan terus memberi semangat kepada saya untuk menulisnya.

Pada saya ini sesuatu yang amat menarik. Selama ini apabila manuskrip di hantar ke penerbit , manuskrip tersebut terperam betahun-tahun tanpa kabar berita. Saya tidak pernah dihubungi oleh editornya apatahlagi oleh bosnya. Mungkin sebuk kot…hehe

Berbalik pada Novel Tariq bin Ziyad. Saya membuat penulisan terakhir pada malam 31 Ogos. Saya tidak sempat menyaksikan konset malam merdeka kerana menyiapkannya hingga ke pagi.

Dan selepas itu badan rasa demam, kepala sakit kerana tak cukup tidur. Tetapi penat lelah hingga demam itu rasa sudah terubat apabila Puan Ainon memaklumkan kepada saya dia tertarik dan seronok membaca manuskrip Tariq bin Ziyad dan pihak PTS akan menerbitkannya dalam bentuk novel dan buku bergambar.
InsyaAllah.

Rabu, September 07, 2005

PERANG UHUD

Antara peperangan yang terhebat di zaman Rasullullah SAW ialah peperangan Uhud. Dalam peperangan tersebut Nabi sendiri yang memimpin pasukan tentera Islam bagi menghadapi tentera Quraisy. Jumlah tentera Islam cuma 700 orang berbanding tentera musuh seramai 3,000 orang. Dan mereka bertemu di bukit Uhud.
Uhud adalah suatu kawasan yang besar, empat batu ke utara Madinah dan tingginya mencecah 1,000 kaki dari tanah rata di sekitarnya. Keseluruhan kawasan ini menganjur 5 batu panjangnya. Di sebelah barat Uhud, terdapat persimpangan yang menurun dan curam, dan di kanan persimpangan tersebut, seperti yang dapat dilihat dari Madinah, sebuah lembah yang landai dan semakin mengecil di hujungnya lebih kurang 1,000 ela dari kaki persimpangan yang curam tadi. Di belakang hujung lembah yang sempit itu merupakan jalan mati kerana di situ titik bertemunya antara dua rabung yang tinggi. Di pintu masuk lembah itulah Rasulullah menempatkan tenteranya. Baginda membelakangi bahagian lembah yang meninggi itu.

Rasulullah mengatur tentera Islam dengan formasi yang rapat 1,000 ela ke hadapan. Kemudian baginda meletakkan barisan sayap kanannya di kaki persimpangan yang curam dan sayap kirinya di kaki bukit yang agak rendah, lebih kurang 40 kaki tinggi dan 500 kaki panjang, dipanggil Ainain. Tentera di kanan dalam posisi yang selamat namun yang di sebelah kiri berkemungkinan diserang dari belakang Ainain; untuk mengelakkan bahaya, Rasulullah meletakkan 50 pemanah, yang dapat memberi amaran sekiranya tentera Quraisy berpusing dan menyerang dari arah belakang.

Pasukan pemanah ini yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair, diberi arahan oleh Rasulullah; “Gunakan anak panahmu untuk tentera musuh. Pastikan mereka tidak menyerang kami dari belakang. Selagi kamu tidak meninggalkan posisi kamu, belakang kami akan selamat. Tidak seorangpun dibenarkan untuk meninggalkan tempat ini. Jika kamu melihat kami mendapat kemenangan, jangan sertai kami; jika kamu melihat kami menerima kekalahan, jangan turun untuk membantu kami.”
bersambung....

Isnin, September 05, 2005

PANTUN RAJA SEHARI

SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN BUAT ZAREDA

Tinta Nostalgia Kehidupan

Bila mata bertentang mata
Kasih berpadu cinta terjalin
Bila sudah seiya sekata
Lalu bersanding di atas pelamin

Sungguh cantik anyaman rotan
Buat hamparan raja sehari
Sama cantik sama sepadan
Bagaikan raja dengan permaisuri.

Di ijab kabul zareda dan suami
Jodoh pertemuan sudah tersurat
Berkasih sayang suami isteri
Semoga berbahagia dunia akhirat

Khamis, September 01, 2005

ISRAK MIKRAJ

Daripada Nabi Muhammad S.A.W., "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya :

1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

4.Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

5. Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Ibrahim bin Adham berkata,
"Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T. Lalu mereka berkata,

"Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :
1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
7. Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."

Abu Bakar r.a. berkata, " Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuhmu berada di sekitar tubuhmu. Sedangkan Allah di atasmu. Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh mengajakmu melakukan dosa. Dan Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "....Dan Allah mengajak ke Syurga serta menuju keampunan-Nya..."

Siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilanglah agama dari dirinya. Sesiapa yang memenuhi ajakan jiwa, maka hilanglah nilai nyawanya. Sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah akal dari dirinya.

Siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilanglah akhirat dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilanglah syurga dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T., maka hilanglah dari dirinya semua kejahatan dan ia memperolehi semua kebaikan.

Sesungguhnya pujian itu hanyalah untuk ALLAH. Tidak ada yang lebih hebat selain dariNYA!

= FYIDA OTHMAN