Rabu, Julai 06, 2005

BIAR MATI ANAK ATAU BIAR MATI ADAT?


Semalam (5hb) berlansung Seminar Kefahaman Adat Perpatih di Hotel Sri Klawang Jelebu. Antara tajuk kertas kerja yang menarik ialah perbilangan, biar mati anak jangan mati adat, yang dibentangkan oleh Dato Sati Hj Md Jan.

Menurut beliau, biar mati anak jangan mati adat menunjukkan ketegasan pemimpin adat melaksanakan hukuman kepada sesiapa yang melanggar adat. Ini bermaksud, sekiranya anak sendiri yang melakukan kesalahan tetap menerima hukumannya. Ini bersesuaian dengan sabda nabi yang bermaksud, sekiranya anak baginda sendiri mencuri tetap dihukum.

Namun perkara itu sukar hendak dilaksanakan pada zaman sekarang kerana mereka lebih sayangkan anak sendiri. Tambahan pula bila ada pemimpin adat yang laba ke perut.

Selain itu pemimpin adat atau Tok Adat tidak lagi dipandang tinggi di kalangan masyarakat adat perpatih zaman sekarang. Mereka dibayar elaun Cuma RM 45.00 sebulan berbanding penoreh getah yang boleh mendapat RM 50.00 sehari.

Kerana itu menurut Dato Sati Haji Md Jan, biasa terjadi di majlis kenduri kahwin Tok Adat terpaksa beratur dengan orang ramai untuk mengambil makanan di khemah. Tok Adat juga berasa rendah diri bila berurusan dengan anak-anak buah yang bergaji ribu-ribu. Kerana itu bagaimana hendak melaksanakan hukum adat apabila anak buah yang berjawatan tinggi melanggar adat?.

Semasa rehat saya sempat mendengar perbualan beberapa orang peserta seminar. Mereka bersetuju dengan pendapat yang mengatakan kemungkinan pada suatu masa nanti Adat Perpatih Cuma tinggal bahan sejarah sahaja.


Jika perlantikan datuk undang tidak lagi mengikut adat dan apabila Tok Adat tidak lagi dihormati oleh anak buah sendiri maka sistem adat perpatih semakin lama semakin dilupakan, kata seorang peserta seminar.

0 ulasan: