Jumaat, April 29, 2005

TRAGEDI BERDARAH

(TAKZIAH KEPADA MANGSA)

April berdarah
Kereta api maut
Pemandu cuai

Panas memijar
Rakyat Jepun berkabung
Tuntut pampasan


Abdullatip
Jelebu
29. April. 2005

Rabu, April 27, 2005

SAHABAT

( Salinan dari blog melor)

SAHABAT

Senyum sahabat
penuh kasih dan sayang
tiada dendam.

senyuman mesra
erat persahabatan
jangan terluka

senyum sahabat
bersalam bila jumpa
penyejuk jiwa.

abdullatip
27.9.2004



Karya SAHABAT ini dinamakan RENSAKU, iaitu HAIKU yang ditulis berangkap. walau bagaimanapun ia tidak menepati ciri2 haiku tradisional Jepun yang mensyaratkan ada KIGO (kata musim) dalam setiap rangkap haiku. Oleh itu ia lebih menjurus kepada SENYRU (sama seperti haiku, namun tidak perlu ada KIGO di dalamnya).MBA Homepage 04.26.05 - 7:49 pm #


melor, terima kasih kerana siarkan SAHABAT. ia ditulis ketika saya mula terpikat pada haiku.
sdr MBA terima kasih atas ulasan. saya baru belajar pak.latiptalib Homepage 04.26.05 - 8:52 pm #

Jumaat, April 22, 2005

DHARMAWIJAYA


Setelah mendapat berita dari Nisah Haron dan Mahaya Yassin yang mengatakan Dharmawijaya atau nama sebenarnya Kamaruzaman Ab. Kadir telah kembali ke rahmatullah maka saya pun bersiap untuk menziarahinya. Tetapi saya tidak perlu tergesa-gesa kerana dimaklumkan jenazah akan dikebumikan selepas solat Asyar.

Semasa dalam perjalanan dengan kereta saya masih memikirkan bagaimana hendak mencari rumah nombor 31, Taman Rasyidah Utama, kerana saya tidak pernah berkunjung ke rumah tersebut. Walaupun kami satu negeri tetapi jarang bertemu mungkin kerana beliau sebuk dengan tugasnya sebagai pensyarah.

Ketika saya sampai ke rumahnya, jenazah sedang dimandikan dan saya berkesempatan menyaksikannya. Saya agak terkejut bila melihat keadaannya yang begitu kurus. SN A.Samad Said turut berada di situ. Saya menyapanya lalu kami berbual. Katanya, hampir 6 bulan tidak bertemu Dharmawijaya dan saya juga mengatakan sudah lama tidak bertemu dengannya.

“ Dah lupa siapa ye?. Duduk kat mana?” tanya Pak Samad.

Rupanya SN A.Samad Said tak kenal…siapalah saya...hehe.

Saya dan Pak Samad sempat bertanya kabar kepada isteri Dharmawijaya. Katanya, Pak Dharma sakit dan dimasukkan ke Hospital Besar Seremban selama 2 minggu. Saya dan Pak Samad geleng kepala kerana rasa kesal tidak tahu Allahyarham sakit dan tidak dapat melawatnya semasa di hospital.

Munurut isterinya lagi, Pak Dharma mengalami barah paru-paru dan keadaannya sudah serius kerana telah merebak dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Katanya, Pak Dharma merahsiakan kesakitannya kepada kawan-kawan malah ketika bercakap dengan Puan Azaz Aziz (Editor Kanan Utusan) beliau tidak memaklumkan sedang sakit.

Dharmawijaya lahir di kampung Talang Kuala Pilah. Kerana itu beliau dapat memahami jiwa dan perasaan petani. Dia tahu perit getir kehidupan mereka dan merakamkannya dalam puisi-puisi antaranya “ Kampung Talang” (Lihat antologi “Di Penjuru Matamu”).

Menurut seorang pengkritik Indonesia J.U Nasution, Dharmawijaya merupakan seorang penyair yang dapat memperhalusi bait-bait puisi. Beliau dapat menggunakan bahasa yang baik sehingga menimbulkan suatu pengucapan bahasa puisi yang lebih segar dan lunak serta lebih mampu membentuk imej yang bisa menimbulkan keharuan perasaan.

Antara sajak-sajak beliau yang popular ialah “Kampung Talang” dan “Sumpah Tanahair. Beliau juga menghasilkan antologi puisi perseorangan berjudul WARNA MAYA.

Isterinya bercerita, ketika sakit suaminya selalu mengadu banyak tugasnya yang belum selesai. Malah sebelum menghembuskan nafas terakhir Pak Dharma meminta isterinya memberikan pen dan kertas dan beliau cuba menuliskan sesuatu.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Paroi Jaya dan disemadikan di tanah perkuburan Sheikh Ahmad Said.

Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atasnya. Al fatihah.





Selasa, April 19, 2005

KURSUS PASCAPERKAHWINAN

Ramai yang tidak setuju dengan cadangan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim supaya pasangan yang telah berkahwin 10 tahun ke atas diwajibkan mengikuti kursus pascaperkahwinan.

Walaupun tujuannya untuk mengatasi masalah perceraian namun ramai yang percaya kursus pascaperkahwinan bukan jalan penyelesaiannya.

Mengikut kajian ramai pasangan yang bercerai berpunca masalah kewangan. Apakah kursus pascaperkahwinan itu boleh menyelesaikan masalah kewangan mereka?.

Perkataan "wajib" bermakna mesti kalau engkar boleh dihukum. Mewajibkan pasangan yang tidak ada masalah mengikuti kursus pascaperkahwinan memang tidak logik. Cubalah bayangkan pasangan yang telah berkahwin selama lebih 10 tahun dan kehidupan mereka tidak ada apa-apa masalah tiba-tiba diwajibkan mengikuti kursus pascaperkahwinan.

Apakah agaknya nasihat yang hendak disampaikan oleh peceramah?. Dan kalau pasangan itu enggan mengikutinya apakah akan dihadapkan ke mahkamah?. Bukahkah itu akan menimbulkan masalah kepada pasangan yang tidak bermasalah?.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri itu. Persoalannya apakah Datuk Dr Mashitah tidak merujuk dulu kepada bosnya sebelum mengemukakan cadangan tersebut?.

Ahad, April 17, 2005

SALAM PERKENALAN

SALAM PERKENALAN

Khamis, April 14, 2005

SEMOGA EMAK SEMBUH

Semalam emak saya dimasukkan ke hospital kerana mendapat stroke atau penyakit angin ahmar. Penyakit ini amat ditakuti kerana boleh melumpuhkan separuh badan dan amat payah untuk diubati.

Menurut kajian perubatan penyakit ini ada kaitan dengan penyakit darah tinggi tetapi di segi agama di sebabkan terkena angin ahmar.

Penyakit angin ahmar ini ada sejarahnya yang tersendiri. Menurut kisahnya pada suatu hari Nabi Sulaiman a.s menerima mengadap segala rakyatnya termasuk jin dan manusia. Ketika itu timbul rasa ujub atau bangga diri dalam hati baginda sambil berkata “ Adakah sesiapa makhluk Allah yang tidak tunduk kepadanya?”

Ketika itu muncul satu lembaga yang besar dan amat menakutkan lalu memperkenalkan dirinya sebagai ar raihul ahmar (angin ahmar). Kata makhluk itu dia diberi kuasa untuk mendatangkan kesakitan kepada anak cucu adam dan boleh menyerap masuk ke dalam badan melalui urat saraf dan darah hingga ke otak.

Nabi Sulaiman a.s memerintahkan panglimanya membunuh makhluk tersebut tetapi tidak ada sesiapa yang mampu melakukannya.

Pada zaman Nabi Muhammad saw penyakit angin ahmar pernah mengenai cucu baginda Saiyidina Hasan bin Ali. Lalu baginda bertanya kepada malaikat Jibrail apakah ubat penyakit tersebut.


Malaikat Jibrail menjawab, Allah swt telah mengurniakan sebuah doa yang mustajab sesiapa yang membacanya walau sekali seumur hidup, dengan izin Allah swt tidak terkena penyakit tersebut.


Kerana itu elok kita membaca doa yang diajar oleh Rasullullah saw itu walau sekali seumur hidup. Mereka yang terkena penyakit tersebut digalakan membacanya berulangkali terutama selepas sembahyang lima waktu.

Ada seorang kawan yang sembuh dari penyakit angin ahmar. Cara yang dilakukannya ialah setiap kali masuk waktu solat dia pun bersembahyang dengan kemampuannya yang ada.


Setiap hari lima kali dia berusaha melakukan sembahyang walaupun Cuma dengan isyarat dan berkat usahanya yang bersungguh-sungguh dia berjaya menggerakkan anggotanya sedikit demi sedikit dan akhirnya sembuh dari penyakit tersebut. InsyaAllah.

Rabu, April 13, 2005

UCAPAN TERIMA KASIH

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Mohd Azmi Ismail, Pegawai Hal Ehwal Islam yang juga Imam Masjid Jamek Kuala Klawang kerana sudi berkunjung ke blog ini.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada pelajar-pelajar Malaysia di Mesir ( Syarifah Salha), di Dublin (Fahd Razy) dan di Australia ( Hakimie) yang juga sudi berkunjung ke blog ini.

Juga terima kasih kepada kenalan di indonesia (anakda Arulkhan), kenalan di kedutaan Malaysia di Amerika, (White Tiger). Kenalan di Singapura (Sya).

dan tak lupa ucapan terima kasih kepada sdr halela yang menetap di okinawa Jepun.

Terlebih lagi ucapan terima kasih saya kepada pembaca dan kenalan di Malaysia termasuk Ustaz Mohd Azmi Ismail.


Untuk makluman apa yang saya tulis di ruangan cerpen, novel, sajak dan sajen adalah cerita rekaan semata-mata. Ia tidak ada kaitan dengan sesiapa baik yang hidup atau yang mati.

Manakala rencana atau entri yang tersiar di ruangan ini adalah kisah benar yang saya alami sendiri. Namun ada juga yang dikirim oleh pembaca melalui email. Saya siarkan di sini dengan harapan boleh dikongsi bersama dengan pembaca. Selain itu mungkin ada penulis yang boleh menjadikannya sebagai bahan untuk penulisan karya kreatif mereka.

Sekiranya ada tulisan di blog ini yang boleh menimbulkan kontroversi atau menyinggung mana-mana pihak saya memohon maaf. Sekian terima kasih.

Isnin, April 11, 2005

NASIB SEORANG EKSEKUTIF


Dalam perjalanan balik dari johor bahru, saya singgah di kawasan rehat yang menyediakan pelbagai kemudahan. Saya nampak seorang lelaki berjalan sambil kepalanya tunduk dan langkahnya seperti orang keletihan. Saya masih cam wajah lelaki itu. Dulu dia seorang eksekutif dan saya pernah berkerja di bawahnya.
Ketika dia berkuasa, sebut saja nama dia kakitangan di bawah kecut perut. Apabila dengar berita dia hendak datang melawat semua kakitangan kelam kabut. Malah apabila diadakan majlis perjumpaan dengan diapun saya sendiri berasa tak sedap hati.
Ini kerana apabila dia datang melawat seolah sengaja hendak mencari kesalahan atau kelemahan kakitangan. Apabila dia berucap yang keluar dari mulutnya hanya kata-kata yang menakutkan dan menyakitkan hati. ucapan;
Lebih baik awak berhenti kerja
Awak ingat gaji yang awak terima tu duit bapak awak
adalah kata-kata basahan yang sering terhambur dari mulutnya.
Kerana itu apabila ada peluang untuk bersara awal maka ramai yang memohon terutama pegawai-pegawai yang tak pandai membodek dia. Tetapi bagi yang pandai mengampu atau membodek seperti apabila dia datang melawat maka picit-picit belakangnya, urut kaki dan tangannya, sediakan pelbagai perkara yang menyukakan hatinya mereka berasa selamat.

Namun bak kata orang, langit tak sentiasa cerah. Roda kehidupan sentiasa berputar. Hari ini seseorang itu boleh berada di atas tetapi esok kemungkinan dia akan jatuh ke bawah.
Dia digantung kerja dan di hadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
Satu hari saya pernah jumpa dia di pasar tani kuala pilah. Mungkin dia juga masih kenal saya. Sewaktu saya hendak menegurnya dia pura-pura sebuk bercakap melalui hansetnya.
Dan baru-baru ini saya jumpa dia sekali lagi. Tetapi keadaannya sudah berubah. Dia tidak lagi mendabik dada. Langkah kakinya nampak lemah sahaja, rambutnya dah banyak yang gugur dan paling ketara keangkuhannya sudah tidak ada.

OH TANJUNG PUTERI


Sesekali bawa isteri dan anak pergi makan angin memang seronok. Dulu masa anak-anak masih kecil selalunya kami naik keretapi atau bas. Tetapi sekarang naik kereta sendiri kalau letih boleh diganti oleh anak kerana mereka sudah ada lesen memandu.

Perjalanan dari seremban ke johor bahru semakin lancar. Kalau naik keretapi memakan masa hampir 8 jam kalau naik bas hampir 5 jam tetapi kalau bawa kereta sendiri boleh sampai dalam masa 3 jam sahaja.

Tetapi bayaran tolnya lebih mahal dari minyak kereta. Pun begitu masih beruntung kalau perjalanan bersama keluarga.

Alhamdulillah sepanjang perjalanan pergi dan balik tidak ada kemalangan yang berlaku. Cuma ada sebuah kereta yang tersadai kerana injin terlalu panas mungkin terlalu laju. Ada pula yang ditahan kereta peronda kerana melebihi had laju. Nasib baik kereta kami tidak ada apa-apa masalah.

Di johor bahru barang-barang memang mahal. Mungkin pengaruh dolar singapura. Di pasar awam larkin sekilo pisang RM 2.50 berbanding 0.80 sen di jelebu.

Kabarnya banyak hotel di johor bahru dimiliki oleh saudagar dari singapura. Ramai pula diantara mereka yang berjaya membeli rumah dan tanah di sekitar kawasan bandar.bukan saja tanah malah pasir juga banyak yang telah dijual.

Nama asal johor bahru ialah tanjung puteri. Mungkin kerana itu ia mudah dimiliki.

Isnin, April 04, 2005

PERJALANAN MOHON KEMAAFAN


Esok saya bersama isteri dan anak akan berkereta ke Johor Bharu dan terus ke singapura untuk menziarahi adik beradik di sana. Hampir empat tahun kami tak berjumpa tiba-tiba norfaizin yang sedang bercuti selama tiga bulan menyatakan hasratnya ingin menziarahi ayah dan mak saudaranya.

Kerana begitu kuat keinginannya maka dia sanggup menghidupkan paspot antarabangsa yang telah tamat tempohnya. Dia juga menolak peluang untuk menjadi guru sementara di sebuah sekolah menengah.

Maka terpaksalah saya akur dengan kehendaknya. Maka terpaksa jugalah saya memohon maaf kepada sdr ep, zareda, mely dan beberapa orang lagi yang kami sudah berjanji hendak berjumpa pada hari rabu.

Maafkan saya, maafkan saya dan maafkan saya…

MARI KITA BERSELAWAT

KEISTIMEWAAN BERSELAWAT

1) Sabda Nabi Muhammad SAW : Barangsiapa yang berselawat keatasku
sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat keatasnya 10 kali ganda

2) Allah akan hapuskan dosa2 kecil dengan kita mengamalkan
berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat
fardu.

3) Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali
sehari, insya Allah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada
lelaki @ wanita.

4) Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali
pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan
sembuh.

5) Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas
solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi
apa jua masalah.

6) Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya
Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu
berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

7) Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari,
dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh
orang lain.

8) Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau
sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan
Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

9) Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan
dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, dan
sebagainya dalm dirinya.

10) Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat,
Insya Allah akan beroleh kebahagiaan samada di dunia mahupun di
akhirat.

11) Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana
Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di
kalangan orang lain.

12) Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah
memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh
ketenangan fikiran.

13) Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya
setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia
berusaha mencari keredhaanNya.

14) Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin
keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat
kita menghadapi kesukaran hidup.

15) Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap
selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya
daripada sebarang bencana.

16) Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap
hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh
serta bahaya fitnah.

17) Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu
membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan
dan mendapat keampunan daripadaNya.

18) Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin,
akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipudaya syaitan
yang melalaikan.

19) Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang
akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat
kemurkaan Allah.

20) Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat
berturut2, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada bafinda
SAW.

21) Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi
SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali
sehari.

22) Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali
tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, InsyaAllah akan
dihapuskan dosa2 kecil seseorang.

23) Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari,
Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak
disangka-sangka baginya.

24) Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir,
termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu maha
luas rahmatnya.

25) Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban
hari tak kira berapa hitungannya, insya Allah dihindarkan daripada
taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

26) Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu
menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan
hajatnya.

27) Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya
dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali
setiap selesai solat Maghrib.

28) Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang
baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari,
diikuti dengan usaha yang berterusan.

29) Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku
sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari
kiamat dengan keadaan bercahaya ? Abu Naim.

30) Sabda Bani SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada
waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh
syaafaatku pada hari kiamat ? Thabrani

Sabtu, April 02, 2005

CERPENDEK

MURID ISTIMEWA

Aku tidak mahu pergi ke sekolah hari itu dan berharap matahari tidak akan terbit supaya aku boleh terus tidur. Tetapi matahari terbit juga. Dan ibu mengejutkan aku dari tidur. Dengan rasa marah aku pun berteriak, “ Wahai matahari!. Aku akan lenyapkan kau bila aku besar kelak.”

Ketika dalam kelas aku berasa mengantuk yang amat sangat lalu aku pun terlelap. Tiba-tiba aku disergah oleh cikgu.

“ Awak berdiri!” teriaknya..

Tetapi aku enggan menurut perintahnya. Aku merenung guru Matematik itu. Mukanya nampak merah menahan marah.

“ Sapu hingus yang meleleh dengan lengan bajumu!” tereiaknya lagi.

Tetapi aku tetap enggan. Sengaja kubiarkan hingus meleleh keluar dari lubang hidungku.

“ Hei, kenapa awak ni pengotor sangat?” suara cikgu semakin keras.

Aku tetap membisu. Kini hingus itu terasa meleleh hingga ke bibirku.

Tiba-tiba Si guru berubah sikap. Dengan suara yang lembut dia berkata, “ Mungkin awak tak sihat hari ni. Cikgu akan benarkan awak balik tapi jawab dulu soalan cikgu. Dua tolak dua berapa?”

Dengan pantas aku menjawab, “ Empat!”

Kelas peralihan itu riuh dengan gelak ketawa. Semua kawan-kawan mengejek namun aku tidak mempedulikannya. .

“ Awak memang budak yang pandai. Bila dah besar nanti nak jadi apa?” tanya guru Matematik itu lagi.

“ Ahli tinju!” jawabku sambil mengepal penumbuk.

Aku bercadang hendak menghayunkan penumbuk itu ke muka cikgu tetapi tiba-tiba pandanganku berpinar-pinar...

TERIMA KASIH BUAT MELY

anakda mely

Saya mengucapkan terima kasih kepada anakda Mely yang sudi mengubahsuai serta mencantikkan lagi webblog ini. terima kasih daun keladi kalau boleh bantulah lagi.