Khamis, Januari 13, 2005

PENGHARGAAN

Sebagai seorang penulis saat paling bahagia bila melihat karya diterbitkan atau dibukukan. Saat paling menyukakan hati bila mendapat royalti atau menang sayembara walau sekadar hadiah saguhati. Rupanya ada lagi saat paling membahagiakan dari itu semua bila karya dibuat kajian oleh pelajar universiti bagi memenuhi syarat graduat mereka.
Itulah perasaan saya hari ini setelah menerima kiriman pos laju dari seorang pelajar universiti yang tidak saya kenali menyatakan hasratnya memilih kumpulan Cerpen Kebenaran karya saya yang diterbitkan pada tahun 2001 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai kajian projek ilmiah kesusasteraan Melayu bagi memenuhi syaratnya bergraduat.
Bersama surat itu juga disertakan beberapa soalan bertulis mengenai biodata, penglibatan menulis cerpen khususnya isu-isu atau persoalan yang diterapkan dalam kumpulan cerpen kebenaran.
Mungkin bagi penulis yang lain perkara itu sudah biasa kerana sudah kerap kali dilakukan tetapi pada diri saya inilah pertama kali buku saya dibuat kajian oleh pelajar universiti dan saya anggap ini sebagai satu penghargaan di atas usaha saya menghasilkan kumpulan cerpen itu.
Lalu saya pun berjanji akan memberikan kerjasama dan berharap semoga pelajar itu akan mendapat kejayaan yang cemerlang. InsyaAllah.

2 ulasan:

Nisah Haji Haron berkata...

Tahniah kerana meningkat setapak lagi. Bukan senang untuk dapat peluang begini. Saya pernah ada student KYPM-UKM (program jarak jauh) buat kajian tentang cerpen-cerpen saya dulu. Seronok! Kita dapat lihat sudut pandangan luar tentang karya kita sendiri.

Sekadar cadangan, saya lihat sudah ada buku "Istana Menanti" di laman Sdr Latip, mungkin elok juga ditambah lagi. Supaya senang orang mencari "Koleksi A. Latip Talib".

p/s : Bila nak buat perjumpaan lagi? Boleh buat diskusi sastera santai-santai antara penulis PEN.

Latiptalib berkata...

terima kasih saudara nisah atas kesudian memberi komen. saya memang sudah lama menunggu pandangan pembaca atas buku-buku saya. kerana itu bila siti rashidah sudi mengambil kumpulan cerpen kebenaran untuk kajian ilmiahnya saya berasa gembira. dengan ini dapatlah saya mengetahui kajian seorang bakal graduat terhadap karya saya itu.
perjumpaan penulis PEN untuk perbincangan secara santai itu memang baik. elok saudara yg tetapkan tarikh dan tempatnya maklum sajalah saudara orang kuat PEN. Saya akan datang. INsyaAllah.
mengenai koleksi buku-buku saya sila ke ruangan gambar-gambar. terima kasih saudara nisah. jumpa lagi.