Sabtu, Ogos 14, 2004

Petanda Baik

Semalam bertempat di Dewan SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj Bandar Tinggi Jelebu, berlansung Mesyuarat Agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Kawasan Jelebu. Datuk Seri Utama Dr.Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia telah berkenan merasmikannya.
Turut hadir YB Tuan Jalaludin Hj Alias, ADUn Klawang, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pengarah Kebudayaan, kesenian dan Warisan Negeri Sembilan Encik Seri Ning Buah bersama kira-kira 300 orang yang hadir.
Datuk Dr Rais Yatim dalam ucapannya mengatakan bahawa sebuah komplek belia dan Dataran Warisan akan didirikan di Jelebu dalam usaha untuk memupuk minat mencintai budaya di kalangan belia di daerah ini.
“ Dengan adanya dataran warisan itu nanti, mereka yang berminat di bidang seni seperti deklamasi puisi, teater, nyanyian dan sebagainya boleh membuat persembahan di tempat tersebut,” katanya.
Di majlis itu juga Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim telah memberi peruntukan berjumlah RM 5,000.00 kepada Persatuan Sejarah Jelebu untuk menjalankan aktivitinya.
Dalam mesyuarat agung itu saya telah dilantik menjadi Pengarang Kehormat persatuan sejarah Jelebu untuk tahun 2004 – 2006. Selepas mesyuarat Datuk Sati Haji Md Jan yang dilantik menjadi pengerusi Persatuan Sejarah Jelebu berkata pada saya;
“ Lain kali bila diadakan aktiviti penulisan di Jelebu ajaklah persatuan sejarah Jelebu turut serta.” Katanya.
Pada saya itu petanda baik kerana Perkampungan Penulis daerah Jelebu akan dijadikan acara tahunan. Bermakna pada setiap tahun, akan diadakan malam pusi, pelancaran buku dan bengkel penulisan sempena program tersebut.
Kalau tahun 2004 yang terlibat menganjurkannya ialah Majlis Kebudayaan Jelebu, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Esastera.Com maka tahun 2005 akan bertambah meriah lagi dengan adanya kerjasama dari Persatuan Sejarah Jelebu.

0 ulasan: