Jumaat, Julai 30, 2004

JALAN JALAN CARI KAWAN

Sehari suntuk di kuala lumpur amat meletihkan tapi gembira dapat bertemu dengan kawan-kawan. Di Dewan Bahasa dan Pustaka dapat bertemu dengan Puan Rozninah Abd Azib. Kemudian bertemu Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar Founder Esastera.Com dan Fahd Razy seorang penulis muda bakal menjadi seorang doktor.
Di Utusan Publication berjumpa Puan Nor Azah Abd Aziz dan Talib Samat seorang penulis mapan yang kini menjadi pensyarah selepas menamatkan pengajian PhDnya.
Di Utusan Melayu bertemu dengan KuSeman dan Ramli Abd Karim. Sebelum pulang sempat ke IJN lalu menziarahi Tuan Guru Nik Aziz. Sesungguhnya menziarahi orang yang sakit besar pahalanya.
Apa yang menyentuh hati saya apabila bertemu seorang kawan yang juga seorang penulis. Dia telah berjaya di bidang penulisan lalu mengajak saya menemaninya untuk mengambil cek bayaran royal bukunya di sebuah syarikat penerbitan.
Saya terpegun bila melihat jumlah bayaran royalti yang diterimanya berpuluh ribu ringgit. Katanya, tahun lepas dia menerima hampir seratus ribu ringgit. Sesungguhnya kejayaan kawan itu meransang saya untuk berkarya walaupun saya tidak sehebat dia…

Isnin, Julai 26, 2004

SAHABAT


Pada tahun 1997 saya bertugas di Sarawak. Walaupun tidak lama dapat menabur bakti d bumi Kenyalang itu namun banyak kenangan dan pengalaman yang tak dapat dilupakan.
Saya tak lupa beberapa orang sahabat yang terdiri dari orang Melanau, Bidayuh dan Iban. Seperti orang lain juga, bila terjalin persahabatan saya akan berusaha untuk mengekalkannya. Bila berjauhan saya bertanya kabar, mengirim berita atau paling tidak mengucap selamat hari raya atau selamat hari lahir. Kerana itu barangkali saya belum pernah kehilangan sahabat. Dan setakat ini belum ada sahabat bertukar sebaliknya. Alhamdulillah.
              Pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari sahabat-sahabat saya orang Sarawak mengatakan mereka sudah berada di Bangi kerana menyertai temasya sukan antara jabatan.
              Kerana sudah 7 tahun tidak bertemu, bukan saja mereka, malah saya juga teringin sangat nak berjumpa. Tambahan pula, saya masih ingat semasa berada di Serawak, merekalah yang banyak membantu terutama dalam menjalin hubungan baik dengan masyarakat Iban dan Melanau di tempat saya berkerja. Tanpa mereka saya pasti mengalami kesusahan kerana datang sendirian di daerah yang asing itu. Selama berada di Serawak mereka jadi tempat saya mengadu bila menghadapi kesulitan. Kerana itu bila mendapat tahu mereka berada di sini, giliran saya pula ingin membalas jasa.
        " Inilah kali pertama saya ke kuala lumpur. Bawalah saya berjalan-jalan," kata Aghata.
         Tujuh tahun dulu dia seorang gadis Iban tapi kini sudah ada suami dan punya dua cahaya mata. Walaupun keadaan telah berubah namun kemesraan antara kami sebagai sahabat masih tak berubah.
          "Kawan-kawan lelaki semua dah keluar tinggal kami bertiga sahaja,"kata Jeleni pula.
          Ayah Aghata dan Jeleni adalah Tuai atau ketua rumah panjang. Kerana itu apabila saya baik dengan keduanya maka ayah mereka juga baik dengan saya. Bila Tuai baik maka penghuni rumah panjang juga bersikap baik terhadap saya walaupun suatu ketika dulu memenggal leher orang luar dianggap satu kebanggaan.
           " Terima kasih kerana sudi bawa kami jalan-jalan," kata Rahimah pula.
           Dia orang Melanau beragama Islam. Dia juga banyak membantu saya menjalin hubungan baik dengan orang-orang Melanau.
          Mereka nampak gembira bila saya ajak bersiar-siar di Kuala Lumpur dengan menaiki Komuter, monorel dan putera LRT. Apabila berasa lapar kami menjamu selera di sebuah restoran di Bukit Bintang.
       Kalau di Serawak dulu mereka mempastikan keselamatan saya setiap kali berkunjung ke rumah panjang maka kali ini giliran saya pula mempastikan keselamatan mereka semasa berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Ketika menghantar mereka pulang saya pastikan ketiganya sudah masuk ke kawasan komplek Pusat Latihan Bank Simpanan Nasional, barulah saya beredar.
         Mereka membekalkan saya empat ekor Ikan Terubuk yang telah diasinkan, sehelai kain pelekat sutera samarinda dan sehelai kain batik tenunan halus untuk isteri saya.
         " Kirim salam kami pada kakak," kata Aghata.
        " Baiknya mereka," kata isteri saya bila melihat ole-ole dari Serawak itu.
        " Abang baik dengan mereka sebab itu mereka juga baik dengan abang," jawab saya.
         Alangkah indahnya persahabatan. Apabila telah terjalin janganlah diputuskan.

               Buah Betik buah Bidara
               Elok diletak di atas peti
               Sahabat baik bagaikan saudara
               Kasih tersimpan di dalam hati.


Khamis, Julai 22, 2004

PENDATANG MALAM

Seperti negeri-negeri lain, Negeri Sembilan juga melahirkan penulis-penulis terkenal antaranya Latiff Mohidin, Dharmawijaya, Zakaria Ali, Mahaya Mohd Yassin, Nisah Haron dan Siti Jasmina Ibrahim. Sekadar menyebut beberapa nama.
Dan kini muncul seorang lagi penulis muda berbakat yang menjanjikan masa depan yang gemilang di bidang penulisan bernama Ida Munira Abu Bakar.
Beliau baru berumur 22 tahun berasal dari Batu Kikir Kuala Pilah Negeri Sembilan, kini menuntut di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Karya beliau pernah tersiar di Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Dewan Siswa, Dewan Agama dan Falsafah, Tunas Cipta dan Dara.com.
Selain itu Ida Munira juga turut menyumbangkan karya untuk majalah internet esastera.com yang dikendalikan oleh Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar, pensyarah di UM. Karya beliau boleh diakses di http://www.communityzero.com/penyair.
Baru-baru ini Ida Munira, terpilih untuk mengikuti MPR di Genting Highland yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
" Belum ada kejayaan saya yang boleh dibanggakan," kata Ida Munira merendah diri apabila saya hendak mewawancaranya untuk disiarkan di majalah internet esastera.com.
Beliau salah seorang pemenang sayembara puisi tahun 2003 yang dianjurkan oleh esastera.com. Baru-baru ini Ida Munira berjaya menerbitkan antologi persendirian berjudul "PENDATANG MALAM." diterbitkan oleh Esastera Enterprise.
Menurut penyair muda berbakat yang masih menuntut di UiTM Shah Alam itu, " Saya gunakan duit menang sayembara campur duit poket sendiri untuk menerbitkan antologi puisi pendatang malam," katanya.
Saya berasa kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh penyair muda berbakat ini. Walaupun masih menuntut, beliau sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk menerbitkan antologi persendiriannya.
Antologi tersebut mengandungi 60 buah puisi yang ditulis oleh Ida Munira dalam masa beberapa tahun. Mengandungi 76 muka surat dengan harga RM6.00 senaskah.
" Antologi Pendatang Malam berjaya menarik perhatian Sasterawan Negara A.Samad Said. Dia sudi menulis kata penghantarnya. Dan saya berasa amat dihargai dan menghargainya," kata Ida Munira.


Selasa, Julai 20, 2004

TRAGEDI

Setiap kali saya ke Seremban apabila terpandang pintu gerbang Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor (SMADKPM) Ampangan, saya teringat peristiwa di mana lapan pelajar sekolah tersebut dituduh membunuh pelajar tingkatan empat, Muhammad Farid.
Kini, lapan pesalah juvana tersebut sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Seremban dan saya tidak berani menyentuhnya di sudut perundangan. Biarlah mahkamah yang menentukannya.
Namun apa yang menyentuh hati ialah cerita anak saya bekas pelajar sekolah agama. (Bukan SMADKPM). Menurutnya, semasa baru masuk tingkatan empat, dia juga kena buli oleh pelajar tingkatan lima. Kejadian buli membuli di kalangan pelajar sekolah agama memang ada berlaku tetapi kebanyaknya tidak sampai ke pengetahuan guru kerana tidak ada pelajar yang berani membuat aduan disebabkan takut tindak balas pelajar senior.
Berbalik kepada cerita anak saya, mula-mula dia cuba menahan sabar. Namun sampai di satu ketika dia tidak dapat menahan rasa marah lalu mencabar pelajar tersebut lalu terjadi pergaduhan satu lawan satu.
Kata anak saya lagi, apabila lawannya hampir kalah, pelajar-pelajar tingkatan lima yang berada di situ masuk campur dan cuba membelasah anak saya. Mujurlah kawan-kawan anak saya yang sama dalam tingkatan empat berada di situ lalu turut masuk campur. Dan hampir terjadi pergaduhan beramai-ramai antara pelajar tingkatan lima dengan pelajar tingkatan empat.
Saya sungguh terkejut mendengarnya. Lalu saya pun membayangkan. Kalaulah anak saya dibelasah beramai-ramai oleh pelajar tingkatan lima sudah tentu dia cedera parah atau mungkin dia akan menerima nasib seperti Muhammad Farid.
Kalaulah itu berlaku tentulah saya berasa amat sedih dan kecewa kerana saya menyangka sekolah agama adalah tempat yang paling selamat untuk pelajar. Tragedi yang menimpa ke atas Muhammad Farid sepatutnya menyedarkan pengetua dan guru-guru sekolah agama bahawa di sekolah mereka juga berlaku kejadian buli di kalangan pelajar.
Semoga apa yang berlaku ke atas Muhammad Farid tidak berulang lagi. Namun apa yang pasti tragedi tersebut telah banyak menumpahkan air mata keluarga pelajar yang terlibat.
Ibu bapa Muhammad Farid sudah tentu sedih dengan kehilangan anak kesayangan mereka. Namun ibu bapa lapan pelajar yang sedang dibicarakan juga berendam air mata kerana memikirkan masa depan anak masing-masing.
Bagaimana kalau kita berada di tempat mereka?. Tentu berasa amat kesal kerana anak yang dihantar belajar di sekolah agama akhirnya dibicarakan atas tuduhan membunuh. Nauzubillah.


Ahad, Julai 18, 2004

Cinta Dan Pengorbanan

Semalam berlansung majlis pelancaran mula kerja baik pulih masjid kampung kami oleh Y.B Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim.
Dato’ Salim yang menderma sebanyak RM300,00.00 untuk kerja-kerja membaik pulih masjid kampung kami turut hadir. Orangnya masih muda berusia 50an.
Apa yang menyentuh perasaan saya ialah kemurahan hati Dato’ Salim menyumbangkan duitnya untuk masjid kampung kami. Allah sahaja sebaik pemberi balasan.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya,
" Tidak beriman Seorang hamba sehingga dia mencintai aku lebih dari cintanya terhadap keluarganya, hartanya dan semua orang."
para sahabat menunjukkan rasa cinta mereka kepada Rsullaullah saw dengan sanggup membuat pengorbanan.
Saiyidina Ali ra sanggup menggantikan tempat tidur baginda sedangkan dia tahu ketika itu musuh-musuh sedang mengepung rumah tersebut untuk membunuh baginda.
Saidina Abu Bakar sanggup menyerahkan semua harta yang dimilikinya kepada Rasullullah untuk perbelanjaan perang sebagai tanda cintanya kepada Rasullulah saw.
Kerana cinta kepada Rasullullah saw, Zaid bin Haritsah, Abu Dujanah, Hamzah dan Mush'ab bin Umair sangup menggadaikan nyawa.
Salman al Farisi, sanggup meninggalkan keluarganya untuk merantau mencari Rasullullah saw. Imam Bukhari sanggup menghabiskan seluruh hidupnya untuk mengumpulkan hadis sebagai menyatakan rasa cinta kepada baginda.
Dan hari ini saya berjumpa seorang anak Melayu sanggup menyumbangkan RM300,000.00 untuk membaik pulih sebuah masjid yang terletak di sebuah daerah pedalaman.
" Yakinlah bahawa setiap sen duit yang kita belanjakan untuk agama Allah pasti mendapat balasan yang berlipat ganda," katanya.
Oh, saya terpegun mendengarnya

Jumaat, Julai 16, 2004

TEATER


 



Seorang pelajar Akademi Seni Kebangsaan bertanya, siapakah tokoh & Aktivis Teater Negeri Sembilan?. Abdul Rahman Sidek, jawab saya. Kata Pelajar itu, dia ingin bertemu dengan tokoh tersebut untuk sesi kajiannya. Kemudian saya dihubungi sekali lagi oleh pelajar tersebut bahawa dia sudah pun berada di rumah Abdul Rahman Sidek di Rembau.
        
Abdul Rahman Sidek mula terlibat dengan Teater sejak usia remaja hinggalah ke hari ini. Menurut beliau, walaupun ayah dan ibunya tidak suka dia bermain Teater namun kerana minat akhirnya dia bersara sebagai pekerja Teater.
        
Ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Pembangunan Teater Negeri Sembilan, Abdul Rahman Sidek atau lebih dikenali dengan nama Wagiman N.S, tahun 1962 adalah tahun kegemilangan Teater di Negeri Sembilan. Pada masa itu muncul beberapa tokoh dan penggiat Teater antaranya Ramli Rahman, Fatimah Mansor, Zainab Abdullah, Sharif Fakeh Hassan, Robiah Majid, Abu Bakar Ahmad dan ramai lagi. Mereka adalah guru-guru yang cukup aktiv mementaskan teater.
         
Ketika itu muncul pula nama-nama persatuan teater antaranya, Badan Seriwangi Seremban, Kelab Suria Muda Batu Kikir, Angkatan Setia Jaya Labu, Ikatan Setia Lenggeng, Kumpulan Seri Mantin, Kumpulan Budaya Seremban dan Persatuan Tenaga Murni Saga Rantau.
        
Merekalah yang memeriahkan pementasan teater di padang-padang sekolah setiap kali diadakan pesta sukan. Pada sebelah siang mereka bertungkus lumus menganjurkan sukan dan pada sebelah malam mereka rancak di pentas teater.
        
Menurut Abdul Rahman Sidek, pada tahun 60an itu, mereka berlakun dibawah sinar lampu gasline atau pelita minyak tanah sahaja. Antara teater yang dipentaskan ketika itu ialah Putus Kasih Berubahlah Sayang, Pemberian yang terakhir, Mendong Telah Berlalu dan Hampa. Jamilah Mohd Yunos telah dinobatkan sebagai pelakun wanita terbaik Negeri Sembilan.
         
Puncak kegemilangan Teater di Negeri Sembilan pada tahun 1968 apabila diadakan pertandingan drama yang dianjurkan oleh Persatuan Guru Melayu Negeri Sembilan. Sebanyak 8 kumpulan telah menyertai pertandingan drama itu. Kumpulan Budaya Seremban telah memenangi 3 kategori iaitu pengarah berbaik, drama terbaik dan pelakunnya Che Tom Hamzah telah dipilih sebagai pelakun wanita terbaik.
        
Pada tahun 1978 muncul nama Wagiman N.S selaku teraju sudut Teater Rembau (SUTRA) dengan drama JANTUNG. Darma ini telah memenangi Drama Komidi terbaik dan drama ini telah dipentaskan sebanyak 52 kali di seluruh Negeri Sembilan.
        
Tetapi kegemilangan Teater di Negeri Sembilan mula menurun pada awal tahun 80an. Beberapa orang tokoh Teater yang hebat ketika itu mula beralih arah. Ada yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan, politik dan tidak kurang pula yang berdiam diri tanpa sebab.
          
Semasa minum petang setelah selesai seminar, Abdul Rahman Sidek bertanya saya mengenai skrip Moyang Salleh yang saya tulis. Kata saya, memang ada pihak yang berminat hendak mementaskannya. Tapi masalahnya ialah duit tak ada. Kata orang, ada padi kerja menjadi.
       
" Saya akan cuba usahakan," janji Abdul Rahman Sidek.
        
Sebenarnya janji seperti itu sudah banyak kali saya dengar. Namun dalam hati saya masih berharap tokoh Teater Negerei Sembilan itu dapat menyalakan semula pelita kegemilangan Teater di negeri Adat Perpatih ini.

Rabu, Julai 14, 2004

TUAH ANAK-ANAK

Bagaimana hendak mendidik anak-anak supaya apabila mereka besar kelak boleh menyenangkan hati ayah dan ibunya?. Soalan ini agak sukar hendak dijawab.

Sesungguhnya, anak merupakan harta yang paling berharga dalam kehidupan kita. Anak boleh membuat kita berasa bahagia dan anak juga boleh membuat ayah dan ibunya berendam si air mata..

Siapa yang tak mahu anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Tidak ada ayah dan ibu yang rela anak-anak mereka terlibat dengan jenayah. Kerana itu sejak dari dalam kandungan dijaga dengan rapi. Setelah anak lahir ke dunia dijaga dengan kasih sayang dan diberi didikan. Namun apabila besar tidak semua anak dapat memenuhi impian ayah dan ibunya. Bukan salah ibu mengandung sudah nasib celaka badan.

Kadang-kadang pelik juga memikirkannya, ada ayah yang lansung tidak bertanggung jawab terhadap keluarga dan anak-anak namun anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Tetapi ada pula ayah yang memberikan perhatian dan kemanjaan kepada anaknya bagaikan menatang minyak yang penuh. Apabila besar si anak tidak menjadi seperti yang diharapkan

Ada anak-anak yang lahir dari keluarga miskin tetapi apabila besar menjadi orang yang berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Namun ada pula anak yang lahir dalam keluarga yang kaya raya tetapi berlaku sebaliknya.

Ada yang dikurniakan ramai anak. Masa anak-anak masih kecil mereka nampak hidup susah. Namun apabila anak-anak sudah besar dan berkerja ayah dan ibu mereka sudah nampak hidup senang. Beruntunglah ibu bapa yang mendapat anak-anak yang mengenang budi.

Ramai yang percaya untuk mewujudkan kasih sayang antara anak dengan ayah maka tindak tanduk ayah mesti dijaga. Apa yang penting, jangan bersikap zalim terhadap anak-anak.

Sebagai contoh, setiap pagi ayah minum di kedai kopi makan roti canai atau nasi lemak. Tetapi anak-anak di rumah hanya bersarapan biskut kering. Si ayah menjamu selera di restoran sedangkan anak-anak di rumah hanya berlauk ikan masin. Ada pula ayah bersikap seperti harimau terluka sehingga anak-anak tidak berani mengangkat muka.

Walaupun ada bidalan orang tua-tua “ sayangkan anak tangan-tangankan.” Namun si ayah tidak boleh berbuat sesuka hati. Saya teringat seorang kawan semasa kami kecil ayahnya terkenal sebagai harimau berantai. Pernah kawan saya itu dipukul di tendang dan diterajang. Paling dahsyat pernah kawan saya itu diikat pada sebatang pokok lalu dihurungkan dengan sarang kerengga. Akibatnya kawan saya itu bukan bertambah baik malah bertambah nakal jadinya. Puncak kenakalan kawan saya, apabila dia sudah besar, ayah yang garang itu dilawannya bertumbuk.

Alhamdulillah, saya cuma dikurniakan tiga orang anak. Dua lelaki satu perempuan. Seperti orang lain, kami didik dengan penuh kasih sayang. Sekarang anak-anak sudah besar. Bila anak-anak berkumpul di rumah ibunya selalu bercerita mengingati nostalgia masa kecil mereka.

Kata isteri saya, anak-anak amat manja dengan saya tapi mereka takut apabila saya marah. Pernah satu hari anak yang sulung kena rotan. Walaupun rotanan itu tidak menyakitkan namun dia berasa amat takut sehingga demam. Sejak itu saya tidak pernah lagi merotannya.

Allah swt tidak menghukum kanak-kanak yang belum baligh jika melakukan kesalahan. Tetapi ada ayah yang membelasah anak cuma kerana melakukan sedikit kesalahan. Pengalaman saya mendidik anak-anak, jika selalu kena rotan maka anak-anak tidak takut lagi kena rotan. Sebaiknya cukup dengan amaran saja supaya dia takut kena rotan.

Hari ini anak yang bongsu menelefon memaklumkan kepada kami duit biasiswa telah dimasukkan ke buku akaunnya. Saya mengucap alhamdulillah.

Anak yang sulung pula menelefon mengatakan dia akan balik minggu ini. Saya kata alhamdulillah.

Anak yang tengah pula menelefon katanya tidak dapat balik minggu ini kerana majikannya menyuruh dia berkerja pada hujung minggu. Saya juga ucap alhamdulillah.

Setiap kali selesai solat kami tidak lupa mendoakan anak-anak supaya berjaya hidup di dunia dan akhirat. Amin.

Isnin, Julai 12, 2004

Glamor?

Di kalangan rakan-rakan penulis di Negeri Sembilan saya dianggap “low profil”. Mungkin benar juga kata mereka sebab saya ni agak pendiam, duduk jauh di pedalaman, karya jarang diperkatakan dan gambar tak selalu tersiar dalam surat kabar.

Seingat saya selama lebih 14 tahun menulis cuma tiga kali sahaja gambar tersiar di Utusan Zaman (jawi), sekali di Berita harian dan hari ini di Metro Ahad.

Adakah saya kecewa?. Oh tidak. Saya menulis kerana minat. Tak glamor pun tak apa.

Pada hari Ahad yang lepas, saya dihubungi melalui telefon oleh Encik Mohd Amin, Wartawan Berita Harian. Dia mengajak saya berjumpa untuk sesi temuramah yang akan disiarkan dalam ruangan sastera akhbar Metro Ahad. Saya macam tak percaya mendengarnya tapi berasa seronok juga kerana selama ini tidak pernah ditemuramah oleh Wartawan.

“ Beberapa penulis Negeri Sembilan sudah ditemuramah dan disiarkan gambar mereka dalam Metro. Kini giliran Encik Latip pula,” kata suara di gagang telefon.

Saya juga maklum, beberapa penulis Negeri Sembilan seperti Cikgu Agus Salim, Puan Mahaya Yasin, Puan Nisah Haron dan Salbiah sudah pun tersiar gambar dan hasil temuramah mereka di akhbar Metro Ahad.

Tentulah kurang sopan kalau saya menolak untuk ditemuramah. Sebagai penulis teringin juga karya dan diri diperkatakan. Malah saya menganggap ini satu penghormatan.

Kami pun bersetuju untuk bertemu pada hari esoknya (Isnin) di Alson Klana Seremban. Saya menghubungi Puan Mahaya dan Puan Nisah untuk turut hadir dalam pertemuan tersebut. Dan saya ditemani oleh isteri.

“ Sejak bila Pak Latip menulis?” itulah soalan pertama Encik Mohd Amin.

Maka saya pun menjawabnya dengan mengatakan minat menulis sudah ada sejak di tingkatan lima dan enam atas. Tetapi mula aktif berkarya dan tersiar lebih 14 tahun yang lalu.

Encik Mohd Amin membelek-belek novel remaja dan novel kanak-kanak karya saya yang sudah terbit. Dia yang minta saya bawa karya-karya tersebut mungkin sebagai bukti.

“ Encik Latip dah banyak hasilkan karya. Saya pernah tengok buku-buku ini di kedai tapi tak tahu pulak A.latip Talib ini orang Negeri Sembilan.” Katanya.

Pernah dalam satu majlis, Encik Rahman Shaari berkata, di Negeri Sembilan ada 2 orang penulis bernama Abdul Latip Talib. Seorang penulis drama tv dan seorang lagi penulis cerpen dan novel.

Mungkin silap saya juga kerana bersikap “low profil.” Tetapi itulah saya. Nak buat macam mana?.

Bukan tak nak glamor. Tapi memang tak glamor. Saya senyum sendiri…hehehe.

Sabtu, Julai 10, 2004

Beban Bertambah

Negeri Sembilan masih kurang aktif dengan kegiatan teater berbanding negeri-negeri lain. Kerana itu usaha sedang giat dijalankan untuk menubuhkan Majlis Teater Negeri Sembilan. Namun antara syarat penubuhannya mestilah dianggotai oleh 7 badan gabungan atau NGO yang berdaftar.

Untuk merealisasikan impian tersebut, pada hari ini berlansung Seminar Pembangunan Teater Negeri Sembilan di Taman Budaya Negeri. Seramai 50 orang aktivis teater dari seluruh daerah telah hadir. Mereka mewakili Kumpulan Teater Karyawan Muda Negeri Sembilan, GAPURA dan Majlis Kebudayaan Daerah-daerah. Saya dan Datuk Penghulu Shah kamaruddin mewakili Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu.

Antara tokoh Teater yang menyampaikan kertas kerjanya ialah sdr Ismail Kassan, Presiden TEMA, sdr Abdul Rahman Sidek (Wagiman NS), sdr Roslee Mansor dan Encik Siri Neng Buah, Pengarah JKKW Negeri Sembilan.

Menurut sdr Ismail Kassan, dia berasa agak cemburu kerana Negeri Sembilan sudah ada Taman Budaya yang dilengkapi stadio yang begitu canggih dan sesuai untuk persembahan Teater.

“Sepatutnya penggerak Teater Negeri Sembilan menggunakan kemudahan yang ada ini dengan sebaiknya,” katanya.

Namun apa yang pasti, selagi Majlis Teater Negeri Sembilan tidak dapat ditubuhkan maka selagi itulah kegiatan Teater tidak dapat digerakkan secara aktif.

Kerana itu, selesai sahaja seminar Pembangunan Teater Negeri Sembilan terus diadakan mesyuarat penaja penubuhan Majlis Teater Negerei Sembilan.

Semasa dalam perjalanan balik, Shah Kamaruddin, yang juga Setiausaha MKDJ melahirkan kerisauan disebabkan beban kerja yang dipikulnya semakin bertambah.

“ Tidak lama lagi akan didirikan dataran kebudayaan di pekan Kuala Klawang. Selain itu hendak dibangunkan Muzium Jelebu,” katanya.

“ Baguslah…” kata saya pula.

Apa yang merisaukan hatinya ialah pengisiannya nanti. Apa yang hendak dipamerkan dalam Muzium Jelebu dan apa aktiviti yang hendak diadakan di Dataran Kebudayaan Jelebu.

Saya mula berdiam diri kerana takut dilibatkan sama dengan projek tersebut.

“ Nampaknya beban Encik Latip juga akan bertambah,” katanya.

Rabu, Julai 07, 2004

Hakim Sayembara

Hari ini saya menjadi hakim Sayembara puisi & lagu puisi peringkat Seremban 1 yang berlansung di Dewan Besar Sek. Men. Keb Tunku Ampuan Durah, Seremban.

Sebanyak 11 buah sekolah yang mengambil bahagian iaitu SMK ST Paul, SMK Tunku Ampuan Durah, SMK Haji Mohd Redza, SMK Dato’ Said Nilai, SMK Dato’ Klana Putra Lenggeng, SMK Dato’ Sheikh Ahmad, SMK Mantin, SMK Labu, SMK Tunku Ampuan Najihah, SMK Seremban 2 dan SMK Taman Semarak Nilai.

Kesemua peserta yang mengambil bahagian telah menunjukkan persembahan yang baik. Namun yang terbaik dari yang baik-baik pasti terpilih sebagai pemenang.

SMK Dato’ Sheikh Ahmad muncul sebagai pemenang tempat pertama, SMK Tunku Ampuan Durah tempat kedua dan SMK Labu tempat ketiga.

Persembahan mereka diadili oleh 5 orang hakim, 3 hakim bahagian puisi dan penyampaian manakala 2 lagi bahagian lagu. Markah puisi berdasarkan keindahan bahasa, mesej dan tema manakala markah penyampaian pula di segi sebutan, suara dan penghayatan. Markah yang paling banyak di bahagian penyampaian.

Sebelum ini saya tidak pernah menjadi hakim sayembara puisi & lagu puisi dan ini pengalaman pertama kali. Kerana itu bila Puan Nisah Haron meminta saya untuk menggantikan tempatnya untuk menjadi hakim sayembara, saya berasa agak ragu-ragu untuk menerimanya. Tetapi akhirnya saya bersetuju juga kerana memikirkan inilah peluang untuk belajar dan menimba pengalaman. Pada saya pengalaman begini amat berharga. Dan sebelum pertandingan bermula Puan Mahaya Yassin selaku ketua hakim memberikan taklimat kepada hakim mengenai cara-cara pemberian markah.

Dari pengalaman itu sedarlah saya menjadi hakim sayembara bukannya mudah kerana markah atau penilaian setiap hakim akan diambil kira dan boleh dibuat perbandingan. Mujurlah markah yang saya beri tidak jauh bezanya dengan para hakim yang lain. Dan kami berjaya memlilih peserta yang terbaik dari yang baik-baik jadi pemenang. Nampaknya para penonton juga berpuas hati dengan pemilihan pemenang oleh hakim.

Semasa hendak balik ada peserta bersama guru mereka bertanya kepada saya (hanya saya seorang sahaja hakim lelaki) apa kelemahan mereka supaya dapat diperbaiki di masa akan datang.

Saya berasa senang hati dengan pertanyaan tersebut kerana menunjukkan ada inisiatif mereka untuk memperbaiki lagi persembahan di masa akan datang. Itu lebih baik dari pertanyaan, kenapa kami tak menang?.

Apalagi yang boleh saya jawab selain menyuruh mereka berlatih lebih gigih dan beri tumpuan di bahagian penyampaian kerana markah bahagian itu tinggi. Selain itu suara pendeklamasi seharusnya mantap dan jika berduet dengan iringan lagu yang harmoni.

Saya dapat memahami bagaimana perasaan mereka yang kalah kerana sudah berlatih dengan bersungguh-sungguh. Banyak masa, tenaga dan wang yang telah digunakan untuk menyertai sayembara tersebut. Namun mereka terpaksa menerima kekalahan tersebut kerana setiap pertandingan mesti ada yang kalah dan yang menang.

Peserta yang terbaik di kalangan yang baik-baik pasti muncul sebagai pemenang.

Sabtu, Julai 03, 2004

Cerita Seorang Guru

Hari ini saya sempat berbual dengan seorang guru lepasan ijazah yang mengajar matapelajaran Sains dan Matematik di sebuah sekolah menengah. Katanya, kebanyakan pelajar sekarang semakin nakal, kurang ajar dan malas belajar. Malah pelajar sekolah agama pun ada yang bergaduh sampai terbunuh.

Kata Cikgu itu lagi, disebalik fenomena itu ada sesuatu yang membanggakan guru-guru di sekolah tersebut, iaitu pelajar kaum asli lebih patuh pada disiplin sekolah, rajin belajar dan tidak terlibat dengan kenakalan pelajar lain. Sebaliknya pelajar Cina dan India yang paling banyak bermasalah.

Katanya lagi, pelajar kaum asli berulangalik ke sekolah tidak lagi berjalan kaki tetapi dihantar oleh keluarga masing-masing bukan saja dengan motor tetapi juga dengan kereta. Pakaian mereka juga tidak kurang hebatnya berbanding pelajar lain.

Baru saya sedar kaum asli di tempat saya sudah meningkat taraf hidup mereka. Di perkampungan orang asli di Parit Gong, rumah mereka besar, cantik dan lengkap dengan segala kemudahan seperti air, api, telefon, televisyen malah sudah ada yang memiliki astro. Ini tidak menghairankan kerana kebanyakan mereka sudah memiliki kebun getah dan dusun buah-buahan. Tambahan pula harga getah mahal.

Bila ekonomi kaum asli meningkat maka taraf hidup mereka juga sudah berubah. Mereka tidak lagi bergantung hidup pada hasil hutan, sebaliknya seperti kaum lain, ke pasar atau kedai runcit untuk membeli makanan. Taraf kesihatan mereka juga lebih terjamin. Dan apa yang lebih membanggakan anak-anak orang asli tidak terlibat dengan kes jenayah seperti menghisap dadah.

Di sekolah pula, pelajar kaum asli diberi pelbagai keistimewaan. Mereka tidak perlu membayar yuran peperiksaan. Bantuan buku teks diberi percuma malah pelajar yang masuk ke sekolah berasrama tidak dikenakan apa-apa bayaran kerana ditanggung oleh Jabatan Orang Asli. Kerana itu tidak hairanlah mereka sudah maju di bidang pelajaran.

“ Pelajar kaum asli di sekolah saya lebih pandai dari pelajar Cina, Melayu dan India,” kata guru itu.

Jumaat, Julai 02, 2004

Dulu Dan Sekarang


Insya_Allah, pada 25hb Julai ini akan diadakan Perkampungan Penulis Muda Daerah Jelebu di hotel Kuala Klawang dan program ini dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Sembilan Cawangan Jelebu dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).

Dari pengalaman saya, walaupun daerah Jelebu agak terpencil dan anak muda ramai berhijrah ke bandar, namun tidaklah sukar hendak mencari peserta untuk menghadiri bengkel penulisan. Tambahan pula kalau dibuat di tempat yang selesa, makan dan minum diberi percuma. Apa yang sukar ialah memupuk minat menulis di kalangan peserta.

Benarlah kata orang, melahirkan seorang penulis lebih sukar dari melahirkan seorang pemimpin. Dari 100 peserta yang menghadiri bengkel penulisan mungkin seorang dua saja yang meneruskan minat menulis atau lansung tidak ada. Tahun lepas kami menganjurkan bengkel kewartawana dan kepenyairan esastera yang dihadiri oleh peserta seramai 40 orang. Saya tidak pasti berapa orang yang berjaya menghasilkan karya selepas bengkel tersebut.

Kerana itulah untuk program kali ini setiap peserta diminta membawa karya masing-masing untuk dibincangkan dengan penceramah. Kalau karya itu baik kemungkinan akan diterbitkan dalam bentuk antologi bersama diterbitkan oleh Majlis Kebudayaan Jelebu.

Betapa bertuahnya anak-anak muda sekarang. Mereka yang berminat di bidang penulisan di jemput menghadiri kursus dan mereka dibimbing oleh mereka yang berpengalaman. Untuk program kali ini kami menjemput Encik Ramli Abdul Karim, Wartawan MIngguan Malaysia, Nisah Haron seorang peguam yang berbakat di bidang penulisan dan Nor Azah Abd Aziz, Editor Utusan Publications & Distributors yang banyak pengalaman di bidang penerbitan.

DI zaman saya dulu tidak mendapat kemudahan seperti ini kerana terpaksa diusahakan sendiri. Dulu hanya persatuan penulis saja yang menganjurkan bengkel penulisan tetapi sekarang sudah ada badan lain sanggup menganjurkannya. Dulu peserta dikenakan bayaran tetapi sekarang diberi secara percuma.

Mungkinkah kerana segalanya percuma, mudah dan selesa menyebabkan peserta yang datang bersikap leka dan sambil lewa?. Selepas berbengkel senyap begitu sahaja?.

Apa yang pasti di Jelebu sudah ada pihak yang bersedia untuk menganjurkan program seperti ini. Terpulang kepada kita untuk memanfaatkannya. Jangan tepuk dada tanya selera. Kita manfaatkan peluang yang ada.