Rabu, Jun 30, 2004

Seekor Kucing

Adalah diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw sayang pada kucing. Baginda pernah mencela seorang wanita kerana menyiksa haiwan yang manja itu sehingga mati. Diceritakan juga, ada seorang sahabat Nabi suka mengendung seekor kucing dalam jubahnya lalu baginda memanggil lelaki itu dengan nama Abu Hirairah. (Bapa Kucing).

Kata orang tua-tua, kalau nak memelihara kucing, pilih yang bulunya ada tiga warna kerana dipercayai kucing seperti itu jenis pembersih dan membawa tuah kepada tuan rumah.

Di rumah saya ada seekor kucing betina mempunyai bulu tiga warna iaitu putih, hitam dan kuning. Pada mulanya saya menjumpai tiga ekor anak kucing yang dibuang di tepi jalan di depan rumah saya. Anak-anak kucing itu menggigil kesejukan kerana baru ditimpa hujan lebat.

Di rengkaskan cerita, anak-anak kucing itu saya bawa ke rumah lalu diberi minum susu. Malangnya dua ekor anak kucing itu mati. Tinggal yang seekor itu bila besar mempunyai bulu yang ada tompokan tiga warna di badannya.

Kucing saya ini memang jenis pembersih. Bulunya nampak tebal dan sentiasa kelihatan bersih. saya tak pernah memandikannya tapi dia sendiri yang membersihkan bulunya.Jiran-jiran yang datang juga tertarik malah ada yang minta di bawa pulang. Manakan sanggup saya menyerahkannya. Tambahan pula kucing itu ada keistimewaannya. Antaranya pandai menangkap tikus hinggakan haiwan perosak itu tidak berani lagi bermaharajalela. Malah tupai yang kerap datang memakan buah pisang di belakang rumah pun dapat di terkamnya.

Kucing itu juga tidak pernah berak atau kencing dalam rumah. Saya selalu nampak dia mencari kawasan berpasir di luar rumah untuk membuang hajat dan setelah selesai dikambusnya dengan tanah.

Pada suatu hari saya dan isteri keluar rumah dan balik jauh malam. kami tak sedar kucing itu terkurung dalam rumah. Sebaik sahaja saya masuk kucing itu datang lalu mengiau manja sambil mengeselkan kepalanya ke kaki. Bila saya lihat mukanya nampak macam muka kasihan dan matanya merenung sayu ke arah saya seolah ingin mengadu sesuatu. Pada mulanya saya anggap itu cuma naluri seekor kucing sahaja.

Ketika saya melangkah masuk ke bilik bacaan saya terpijak sesuatu yang lembik dan lekit. Rupanya kucing itu terberak di lantai.Beraknya bersepah seolah kucing itu sakit perut. Apa lagi isteri saya pun berleter sambil menghalau kucing itu keluar rumah. Lalu saya pun berkata, “Kucing itu sakit perut dan terkurung dalam rumah. Baru sebentar tadi kucing itu seolah minta maaf pada abang…”

Baru-baru ini kucing kesayangku itu beranak seekor jantan berwarna kuning. Punyalah bijaknya kucing itu kerana beranak di satu tempat yang tersorok di bawah timbunan buku dan surat kabar lama. Saya cuma sedar bila anak kucing itu mengiau memanggil ibunya.

Lebih seminggu anak kucing itu berada di bawah timbunan buku-buku dan saya selalu mengintainya. Saya heran tidak ada terbau kencing atau berak yang sepatutnya sudah dikeluarkan oleh anak kucing itu. Satu ketika bila ibu kucing datang saya pun mengintai. Bila saja menemui anaknya ibu kucing itu menjilat seluruh tubuh anaknya termasuk bahagian punggung.

Ibu kucing itu juga amat sayang pada anaknya. Setiap kali anaknya mengiau, kucing itu pasti menerpa dan menjilat-jilat anaknya sehingga senyap. Perut anak kucing itu juga sentiasa nampak kekenyangan kerana selalu diberi minum susu oleh ibunya.

Lalu saya berfikir, kalau seekor kucing tahu menyayangi anaknya. Betapa pula dengan manusia?. Kenapa ada iu yang sanggup mendera anaknya?. Ada yang membuang anak yang baru dilahirkan ke longkang atau tong sampah. Malah ada ibu yang sanggup membunuh anak yang dikandungnya sendiri. Dalam hal ini saya anggap kucing saya lebih baik dari ibu-ibu yang bersikap kejam itu.

Selasa, Jun 29, 2004

Dalam Sejarah



PUISI

NEGERI BERADAT INI
Oleh: A.Latip Talib

Negeri beradat ini
tanah tumpah darahku
akar Sejarahnya bermula
dari Batu Sangkar paya Kumbuh Bukit Tinggi
asal negeri nenek moyangku.

Negeri beradat ini
adalah jejak indah Raja Melewar
tanah ini dipilih kerana tuahnya
lalu dibangun menjadi negeri
yang jauh dijemput datang
yang dekak diajak bersemenda
luak dan suku diajak muafakat
lalu tertegak keraton Istana Seri Menanti.

Negeri beradat ini
ada waris pusaka suku Biduanda
ada buapak Datuk Lembaga
ada Undang luak yang empat
berpayung dibawah duli Tuanku
Yang DiPetuan Besar Negeri Sembilan.

Negeri beradat ini
rakyat diajar hidup muafakat
yang lemah dibela
Yang kuat jadi pelindung
hati gajah sama diratah
ke bukit sama berpenat
ke lurah sama berpegang tangan
Ke baruh sama menuai padi
ke darat sama memasang jerat.

Negeri beradat ini
pernah terukir sejarah merah
Penghulu luak bersengketa
darah rakyat tumpah merata
akibat adu domba penjajah
akhirnya mereka berkuasa.

Negeri beradat ini
pernah terukir sejarah gemilang
di sini lahir anak-anak terbilang
pencetus semangat kebangsaan
Pejuang bahasa dan budaya
menjadi tonggak negeri tercinta.

Negeri beradat ini
Kamilah anak-anak gemilang
penyambung warisan bangsa
penyubur hidup beragama
disini kasih dicurah.


Selasa malam Rabu 22hb Jun 2004 berupa hari ini dalam sejarah dalam kehidupan saya kerana pada malam itulah
bertempat di Dewan Sekolah Menengah Tuanku Ampuan Durah Seremban, saya dijemput membaca puisi sempena kembara bahasa 2004 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Itulah pertama kali membaca puisi di pentas dan tentulah pengalaman itu tidak akan dilupakan.

Beberapa hari sebelum itu Puan Nisah Haron, seorang peguam dan juga seorang penulis, menghubungi saya melalui telefon mengatakan nama saya dimasukkan dalam senarai beberapa orang penulis Negeri Sembilan yang akan membacakan puisi. Dia mencadangkan supaya saya membaca puisi yang menang sayembara puisi Negeri Sembilan.

“ Saya tak pandai mendeklamasikan puisi,” kata saya cuba mengelak.

“ Kita bukan diminta mendeklamasi puisi. Kita membaca puisi,” kata Peguam muda itu mematikan hujah saya.

Lalu saya pun berlatih membaca puisi yang berjudul “Negeri Ini Negeri Beradat.” Judul asal puisi tersebut “Negeri Beradat Ini.” tetapi sengaja saya tukar tajuk kerana lebih mudah menyebutnya.

Puisi itu karya saya sendiri yang telah memenangi tempat pertama sayembara puisi Negeri Sembilan yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, kesenian dan warisan dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).

Saya menyertai sayembara itu sekadar ingin menyertai sahaja dan tidak menyangka berjaya mendapat tempat pertama. Sepanjang penglibatan menulis, inilah pertama kali saya memenangi sayembara puisi dan ia sesuatu yang paling bermakna.

Sebelum ini saya lebih berminat menulis cerpen dan novel remaja. Tetapi setelah menyertai esastera.com sebuah majalah sastera internet, saya mula minat menulis puisi. Dan seperti yang saya kata tadi tujuan menyertai sayembara sekadar ingin mencuba sahaja. Saya hantar 3 buah puisi, sebuah memenangi tempat pertama dan sebuah lagi hadiah sagu hati. Bahagian cerpen pula menang tempat kedua, hadiah pertama di menangi oleh Siti Jasmina Ibrahim.

Walaupun saya yang menulis puisi itu dan saya telah pun menghafalnya, namun apabila tiba masanya hendak naik ke pentas saya boleh terlupa. Mungkin kerana berasa gemuruh maklum saja pengalaman pertama.

Mujur saya ada bawa kertas salinan puisi tersebut. Dan selepas nama dipanggil saya beranikan diri, tabahkan hati dan cuba melangkah dengan tenang naik ke pentas. Namun saya dapat merasakan tangan kanan yang memegang kertas, menggeletar ketika membaca puisi tersebut. Mujur suara saya tidak mengeletar.

Rasa seronok pula kerana sebaik sahaja habis baca puisi orang ramai yang memenuhi dewan bertepuk tangan. Saya tak pasti tepukan itu kerana saya persembahan saya sedap atau sengaja ingin memberi semangat.

Semasa berkereta dalam perjalanan balik, saya minta komen isteri katanya, “ Suara okey tapi abang baca laju sangat.” Memang pun saya baca laju kerana ketika itu saya fikir cepat habis baca puisi maka cepat dapat turun dari pentas.

Pengalaman kali pertama membaca puisi di atas pentas itu banyak memberi pengajaran kepada saya. InsyaAllah kalau diberi peluang lagi di masa akan datang, saya akan cuba membacanya dengan tenang, suara yang jelas tapi tidak terlalu laju dan paling penting mesti dengan penuh perasaan dan penghayatan.
.


Usia Emas

Baru-baru ini saya menyambut hari jadi yang ke 50. Selalunya saya tidak menghiraukan sangat tarikh hari lahir. Tetapi anak-anaklah yang selalu mengingatkan. Terutama anak saya yang bongsu, Nor Faizin. Dia hafal tarikh hari jadi ibunya, ayahnya, abang-abangnya malah saudara yang rapat dengannya. Dulu semasa dia sekolah rendah, sanggup memecah duit tabung miliknya untuk membeli hadiah pada hari jadi kami. Tapi biasanya saya ganti semula duit yang telah dibelanjakannya.

Seperti yang saya katakan tadi, sebelum ini saya tidak menghiraukan sangat tarikh hari lahir sendiri apatahlagi tarikh lahir isteri dan anak-anak. Mungkin ketika itu anak-anak tinggal dengan kami. Mereka yang mengingatkan. Tetapi kini bila anak-anak sudah besar dan mereka duduk di hostel dan rumah sewa baru terasa betapa pentingnya mengingati hari yang bersejarah itu.

Ketika menyambut hari jadi ke 50 baru-baru ini, tidak ada apa-apa yang istimewa selain doa selamat sahaja. Dulu anak yang bongsu itu sebuk sediakan kek dan sebagainya. Kini dia tinggal di UKM, cuma ucap selamat hari jadi melalui telefon sahaja. walaupun kata orang, tinggal berdua di rumah "macam pengantin baru" namun bila berjauhan dengan anak-anak terasa sunyinya. Bermula dengan berdua kini kembali berdua.

Yang pasti, Kini saya sudah berumur 50 tahun. Sudah masuk usia emas. Sudah 50 tahun memijak kaki di bumi Allah ini, Sudah 50 tahun menyedut udara dan sudah 50 tahun lamanya menikmati rezeki yang Allah SWT kurniakan.

Lalu Saya berfikir, berapa banyakkah amal ibadat yang telah saya lakukan?. Di bidang penulisan, berapa banyakkah karya yang telah saya hasilkan?. Jawapannya, masih serba kekurangan. Sepatutnya kesempatan yang masih ada ini, saya gunakan dengan sebaik-baiknya…

Isnin, Jun 28, 2004

Langkah Pertama

Dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim, saya mulakan langkah pertama di weblog ini. Ingin juga saya rakamkan ucapan terima kasih kepada sdr Nisah Haron kerana sudi menolong saya membina laman web ini. Terima kasih juga kepada yang sudi melawat.Tulislah sesuatu sebagai tanda kenangan.